Malaysia Dateline

Penduduk Selangor dijangka dapat bekalan air lebih cepat

Kerajaan Selangor menjangkakan bekalan air akan disalurkan lebih awal dari jam 5 petang, kata Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari.

Beliau memberi jaminan, bekalan air akan terus diagihkan mulai hari ini secara berperingkat kepada penduduk Lembah Klang.

“Ambil masa sekitar 12 jam untuk agih air. Tapi saya lihat 12 jam itu maksimum. Mungkin boleh berkurang lagi jadi 10 jam atau 8 jam berdasarkan kolam imbangan dan agihan kita. Sekarang proses memenuhkan kolam agihan sedang berlaku sebab setelah beberapa jam tak beroperasi, kolam-kolam semua kosong,” katanya ketika sidang media selepas merasmikan program Sukarelawan Kesihatan Komuniti Selangor (SUKA).

Sementara itu, Air Selangor memaklumkan bahawa kerja-kerja penambahbaikan dan penyelenggaraan aset-aset kritikal di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 (LRA SSP1) telah siap dilaksanakan pada jam 5 pagi, tadi.

Menerusi makluman di Twitter rasmi Air Selangor, sehingga jam 6 pagi tadi, sistem rawatan air di LRA SSP1 telah distabilkan dan bekalan air telah mula disalurkan ke sistem agihan bekalan air.

Menurutnya, bekalan kepada para pengguna akan mula disalurkan secara berperingkat pada jam 5:00 petang, 14 Oktober (hari ini).

“Tempoh masa gangguan dan pemulihan bekalan air di kawasan-kawasan yang terjejas adalah berbeza bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna dan tekanan air pada sistem agihan bekalan air.

“Air Selangor terus menggerakkan bantuan air alternatif melalui lori-lori tangki ke premis-premis kritikal seperti hospital, pusat dialisis, Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) dan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) serta untuk upacara pengebumian,” ciapnya.