
Penduduk Selipar Putus Tabuan Melayu mohon bantuan Kerajaan Pusat
Kecewa dengan kepimpinan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Demak Laut di bawah Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), para penduduk di Kampung Selipar Putus, Tabuan Melayu, Kuching, memohon supaya Kerajaan Persekutuan dapat membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi mereka.
Sehubungan itu, penduduk memohon agar Kerajaan Pusat dapat menyelesaikan masalah air, sistem perparitan dan jalan raya di kampung berkenaan.
Aduan itu telah dikemukakan kepada Pengerus Parti AMANAH Sarawak, Mohamad Fidzuan Zaidi ketika lawatan di kampung berkenaan hari ini.
Menurut Mohamad Fidzuan, para penduduk memohon agar pemimpin kerajaan pusat dapat membantu menyelesaikan masalah bekalan elektrik, air, sistem perparitan dan jalan raya di kampung tersebut.
“Walaupun kampung ini terletak di kawasan bandar, namun kemudahan yang diterima amat menyedihkan.
“Kebanyakan rumah -rumah di kampung ini tiada mempunyai meter pemasangan elektrik malah hanya membuat penyambungan dari rumah penduduk berdekatan yang sebelum itu memasang secara persendirian, ” tegasnya.
Beliau menambah, dari segi keselamatan penduduk kampung, ia adalah amat berbahaya kerana boleh mengakibatkan insiden litar pintas.
Selain masalah ekektrik katanya, penduduk turut berhadapan masalah bekalan air yang mana terpaksa berulang -alik ke rumah saudara mara yang memiliki kemudahan itu di kampung berdekatan.
“Masalah lain ialah sistem perparitan yang tidak dapat menampung apabila hujan lebat atau musim air pasang laut yang menyebabkan banjir kilat sering berlaku di kampung ini.
“Bayangkan kalau kampung yang dalam bandar mengalami masalah begini, apatah lagi, penduduk di kampung atau rumah panjang di luar kawasan bandar dan pedalaman.
“Walaupun bidang kuasa eletrik, air dan tanah adalah bidang kuasa negeri, namun kita berharap agar pihak kerajaan negeri melalui wakil rakyat mereka dpt memainkan peranan lebih berkesan,” tegas beliau.
Sementara itu, penduduk akan memberi sokongan padu dengan penubuhan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di kampung tersebut.
Penubuhan itu adalah bertujuan untuk memudahkan penduduk kampung dan masyarakat setempat menerima maklumat berkaitan insentif dan bantuan dari Kerajaan Perseketuan kepada rakyat di negeri ini.
Untuk ke arah itu, penubuhan MPKK di Kampung Selipar Putus, Tabuan Melayu telahpun secara rasmi ditubuhkan hari ini.