Malaysia Dateline

Penduduk setuju Kampung Baru dibangunkan jika ada ‘win-win situation’

Hasrat kerajaan untuk membangunkan Kampung Baru menjadi penempatan moden dan bersepadu, mendapat reaksi positif daripada penduduk.

Baru-baru ini, tinjauan Malaysia Dateline di kampung yang terletak dalam bandaraya itu mendapati, penduduk bersetuju berhubung perancangan kerajaan, namun mereka tetap mahukan pulangan yang setimpal.

Penduduk yang juga peniaga di Kampung Baru yang enggan dikenali, berkata pihak kerajaan boleh membuat pemodenan di kampung itu, tetapi perlu mengamalkan situasi menang-menang (win-win situation).

“Maksud win-win situation itu adalah, jika tanah kami sudah dibeli pihak kerajaan, maka wang pampasan yang kami dapat mestilah setimpal dengan penjualan tanah itu.

“Sebagai contoh, mungkin penduduk mendapat wang pampasan beserta dua atau tiga unit kondominum yang baru dibina di atas tanah Kampung Baru.

“Kalau macam itu keadaannya, saya sebagai penduduk yang telah menetap di sini kira-kira 30 tahun lalu, memang bersetuju sangat dengan inisiatif kerajaan,” katanya yang berumur lingkungan 40-an.

Penduduk, Mohd Sidek, 62, pula menekankan soal jumlah pampasan yang akan diterima sekiranya kerajaan mahu membeli tanah mereka.

“Kalau pampasan yang diberikan itu memuaskan, saya bersetujulah insiatif kerajaan nak modenkan kampung baru ini.

“Pendapat saya, memang bagus rancangan kerajaan terhadap kampung ini.. nampak lah juga ‘berseri’ kampung ini, berbanding nampak ‘lama’ macam sekarang ini,” katanya yang telah menetap selama 62 tahun.

Seorang lagi penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Latif Mahmood, 56, menyokong usaha kerajaan dalam usaha untuk memberi nafas baharu kepada kampung berkenaan.

Katanya, kerajaan telah mengambil langkah yang tepat untuk memodenkan kampung yang popular dalam kalangan pelancong dari luar negara itu.

“Saya rasa, kalau kampung ini dimodenkan, jumlah pelancong yang datang ke sini (kampung) juga akan bertambah… sekarang inipun dah ramai, mungkin akan lagi ramai nanti,” katanya.