Malaysia Dateline

Penduduk Sik masih guna air perigi sejak negara merdeka

Penduduk dalam kawasan Parlimen Sik, Kedah amat kecewa apabila hidup mereka ibarat berada di negeri orang. Mereka kecewa kerana masih lagi menggunakan air perigi walaupun negara sudah lama mencapai kemerdekaan.

Amat parah kata mereka, Adun BN yang mewakili Dun Belantek, Tajuddin Abdullah yang juga merangkap Exco Kerajaan Negeri tidak peduli terhadap masalah tiada bekalan air bersih di kawasan mereka.

Naib Pengerusi AMANAH Negeri Kedah, Dr Salmee Said pula berkata, tiadanya kemudahan bekalan air bersih sehingga menyebabkan penduduk kampung terpaksa menggunakan air perigi bukti kerajaan negeri tidak peduli terhadap masalah rakyat miskin.

Dr Salmee Said

“Seharusnya sejak lima tahun yang lalu, mereka ada wakil rakyat, ada Umno Bahagian, ada JKKK dan banyak agensi yang berada dibawah mereka, takkanlah tak boleh beri komitmen.

“Masalah ini sebenarnya tidak diberi perhatian, kerana wakil rakyat BN yang mewakili kawasan tersebut tidak prihatin dan serius dalam membantu mengatasi masalah rakyat marhaen.

“Sekiranya isu sebegini mudah pun mereka gagal untuk atasi, apa lagi diharapkan untuk mereka laksanakan sekiranya berkuasa sekali lagi dalam pilihan raya umum yang akan datang, ” tegasnya.

Sehubungan itu tambahnya, bukan saja penduduk di Parlimen Sik harus menolak Umno dan BN, sebaliknya seluruh rakyat negeri Kedah mesti bangkit dan berani untuk membuat perubahan drastik kali ini

Zuraidah Shariff  dan anak-anaknya  (gambar) dari Kampung Kuala Beris, amat kesal kerana nasib mereka dakwanya, seolah-olah tidak dibela oleh kerajaan negeri maupun wakil rakyat sedia ada.

“Kami pun ingin merasai bagaimana nikmat mendapat bekalan air bersih.

“Perkara ini telah pun kami ajukan kepada JKKK, tapi sudah bertahun-tahun ia tidak diberi perhatian.

“Mahu atau tidak kami terpaksa juga menggali dua buah perigi untuk kegunaan anak-anak yang masigh kecil, ” jelasnya sayu.

Manakala Awang Kechil Shaari pula berkata, sepatutnya setelah lima tahun menjadi wakil rakyat bagi kawasan Dun Belantek, nasib mereka sepatutnya sudah mendapat perhatian.

Namun begitu sehingga hampir berakhirnya tempoh menjadi wakil rakyat tidak lama lagi, untuk menikmati bekalan air bersih tidak mungkin kesampaian.

“Kalau wakil rakyat pun tak pernah jenguk kami dah dekat lima tahun, tiba-tiba muncul dah dekat pilihan raya, bolehkah mereka tunaikan harapan kami untuk dapatkan bekalan air bersih tersebut.

“Takut-takut nanti mereka, hanya berjanji akan memberi pertimbangan, selepas itu apa yang mereka janjikan entah hilang ke mana.

“Ramai kami penduduk kampung di Dun Belantek masih gunakan air perigi, harap kerajaan negeri tengok-tengoklah kami yang hidup pun hanya kais pagi makan pagi, kais petang makan petang, ” katanya sayu.