Penduduk tiga kampung di Simpang Renggam terima hak milik tanah

Penduduk tiga kampung di Simpang Renggam terima hak milik tanah
Datuk Sahrudin Jamal

Penantian lebih 20 tahun untuk mendapatkan geran tanah bagi 512 penduduk tiga buah kampung  serta pengusaha tanah pertanian di Simpang Renggam dekat sini  berakhir apabila mereka menerima geran tanah masing-masing daripada  Menteri Besar Johor Datuk Dr Sahruddin Jamal.

Kampung yang terlibat ialah Kampung Haji Hamzah, Kampung Paya (Haji Basri) dan Kampung Sumber Jaya manakala manakala pengusaha tanah pertanian pula mengusahakan tanaman kelapa sawit sejak puluhan tahun.

Dr Sahruddin Jamal berkata penyerahan geran tanah berkenaan membabitkan 167 penerima dari Kampung Haji Hamzah dengan tanah seluas 182 hektar, 260 penerima dari Kampung Paya (Haji Basri) dengan tanah seluas 635.96 hektar serta 85 penerima dari Kampung Sumber Jaya dengan keluasan tanah 59.52 hektar.

“Kerajaan negeri amat memahami dan prihatin perkara membabitkan hak milik tanah.

“Kita (kerajaan negeri) seboleh-bolehnya akan cuba memastikan sebarang isu berkaitan dengan perkara seperti ini (hak milik tanah) dapat diselesaikan segera,” katanya berucap pada majlis penyerahan hak milik tanah berkenaan di Kampung Parit Hassan, Simpang Renggam, hari ini.

Seorang penerima, Ahmad Jamadi, 58, berkata dia bersyukur apabila menerima geran tersebut setelah 20 tahun mengusahakan tanah di Kampung Paya (Haji Basri) untuk pertanian.

Ahmad yang tinggal di Kampung Parit Dahlan, Benut dekat Pontian, menerima geran bagi tanah seluas 2.09 hektar yang ditanam dengan kelapa sawit.

“Sebelum ini saya bimbang juga kerana tanah berkenaan tidak mempunyai geran…lebih-lebih lagi untuk tanaman yang saya usahakan selama ini, di mana bila-bila masa sahaja boleh diarah ‘keluar’ sekiranya tiada pemilikan yang sah,” katanya.

Mohd Aseh Sa’adon, 49, juga dari Kampung Parit Dahlan turut melahirkan kegembiraan apabila tanah seluas hampir dua hektar yang diusahakannya  di Kampung Paya (Haji Basri)  kini sah menjadi miliknya.

Mohd Aseh yang turut mengusahakan tanaman kelapa sawit berkata dia kini tidak lagi berasa bimbang dengan isu ‘pencerobohan’ tanah berkenaan oleh individu yang tidak bertanggungjawab.

“Sebelum ini tanah berkenaan selalu diceroboh oleh orang luar di mana  mereka mencuri hasil pertanian. Oleh kerana tiada bukti pemilikan yang sah sebelum ini, saya hanya mampu mendiamkan diri sahaja, bagaimanapun, sekarang ini ianya sah milik saya setelah lebih 20 tahun menunggu,” katanya.– BERNAMA