Penemuan puluhan bangkai kucing dalam rumah sewa, jiran dedah ‘perangai’ suspek

Oleh MALAYSIADATELINE

Lelaki yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes penemuan puluhan bangkai dan rangka kucing di sebuah rumah sewa di Kondominium Bayu Tasik, Bandar Sri Permaisuri, Cheras di sini dilihat sebagai seorang individu penyayang dan pencinta haiwan peliharaan itu.

Halijah Ahmad, 63, yang tinggal di tingkat sama dengan suspek, berkata lelaki berusia 31 tahun itu adalah seorang pembersih, pandai menjaga rumah dan turut membela kucing.

“Cuma dalam sebulan dua ini, saya nampak badan dia tiba-tiba susut dan sangat kurus serta macam tidak terurus.

“Sebelum ini saya ada bercakap dengannya dan bertanya kenapa nampak kurus… dia kata dia sakit dan perlu ke hospital untuk menerima rawatan,” katanya kepada Bernama hari ini.

Halijah berkata kira-kira dua minggu selepas itu, dia terhidu bau busuk namun menyangka ia hanyalah bau kulit udang yang tidak dibuang dari sebuah unit yang dijadikan inap desa di tingkat atas rumahnya.

“Justeru, saya laporkan kepada pihak pengurusan dan apabila disiasat di tingkat atas, bau itu tiada… sebenarnya bau itu datang dari bangkai kucing yang terdapat di depan rumah suspek yang diletakkan di dalam sebuah kotak putih,” katanya.

Halijah berkata pihak pengurusan dan pemilik rumah terbabit kemudian membuat laporan polis.

Seorang lagi saksi yang hanya ingin dikenali sebagai Din berkata memang terdapat banyak kucing liar di kawasan kondominium itu namun bilangannya semakin berkurangan sejak kebelakangan ini.

“Kalau diikutkan kondominium di sini memang tidak benarkan penghuninya membela haiwan peliharaan tetapi berdasarkan pemerhatian saya, terdapat ramai penghuni yang mengingkari arahan itu,” katanya.

Ketua Polis Daerah Cheras ACP Zam Halim Jamaluddin pula berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada 13 Mac lepas serta telahpun membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dan membunuh haiwan.

Semalam, Persatuan Haiwan Malaysia (MAA) menerusi laman sosial Facebook mendedahkan tentang penemuan puluhan rangka, organ dan bangkai kucing di dalam rumah yang disewa oleh suspek.

MAA turut menggesa Jabatan Perkhidmatan Veterinar melakukan siasatan menyeluruh berhubung penemuan itu.

Presiden MAA Arie Dwi Andika berkata setakat pengetahuan beliau, kes itu adalah yang pertama melibatkan pembunuhan haiwan dalam kuantiti banyak di negara ini.

— BERNAMA

Baca juga: Senarai 7 artis paling kaya di Malaysia, nombor 6 paling tak sangka