Malaysia Dateline

Penerima bantuan kebajikan dijangka lebih setengah juta orang

Penerima bantuan kebajikan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tahun ini dijangka mencecah 550,000 orang, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun.

Menurutnya, jumlah itu berbeza daripada 517,414 penerima bantuan tahun lalu dengan mengguna pakai Paras Garis Kemiskinan (PGK) Makanan 2019 sebagai kelayakan permohonan.

Beliau dilapor berkata jangkaan pertambahan penerima itu selari dengan keputusan kerajaan menaikkan kelayakan permohonan bantuan kebajikan dengan menggunakan PGK Makanan 2019 iaitu RM1,169 berbanding RM980 sebelum ini.

Jelasnya, kira-kira 71 peratus atau RM1.772 bilion daripada RM2.5 bilion perbelanjaan mengurus untuk Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) tahun ini akan disalurkan kepada bantuan kebajikan di bawah JKM bagi membantu golongan memerlukan untuk kelangsungan hidup.

“Kementerian menjangka menerima banyak permohonan daripada mereka yang terkesan. Untuk itu, saya minta pemprosesan dipercepat menggunakan teknologi yang memudahkan penerima,” lapor BH.