Penerimaan ICERD bawa implikasi buruk kepada negara, kata Tuan Ibrahim

Penerimaan ICERD bawa implikasi buruk kepada negara, kata Tuan Ibrahim

Ahli Parlimen Pas  hadir untuk menerimaa bantahan daripada NGO  dalam demontrasi diadakan hari ini di hadapan bangunan Parlimen.

Timbalan Presiden Pas Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menganggap jika kerajaan bersetuju untuk menerima ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) boleh mengundang sesuatu yang tidak diingini berlaku kepada negara pada masa hadapan.

Beliau berkata, perkara ini juga sudah terang dan jelas bahawa ianya bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Menurutnya, persetujuan kepada ICERD boleh memberikan kesan yang negatif terutamanya kepada hak istimewa orang Melayu.

“Ini boleh undang malapetaka. Kami desak tak terima, takut ada implikasi akan berlaku seluruh Malaysia khususnya hak Bumiputera,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen, hari ini.

Tuan Ibrahim menyokong penuh penghantaran memorandum oleh beberapa badan bukan kerajaan (NGO) diketuai Gerakan Pembela Ummah yang menggesa kerajaan menolak proses ratifikasi ICERD.

Beliau menjelaskan bahawa kerajaan terdahulu juga menolak sekeras-kerasnya penerimaan ICERD kerana dikhuatiri akan membawa perkara yang tidak diingini berlaku kepada negara.

“Kalau lihat sejarah negara, penolakan dibuat sejak zaman kerajaan BN. Umno pun tolak. Saya harap Pakatan Harapan pun tolak sebab ianya memberi implikasi negatif kepada negara kelak,” ujarnya.

Sebelum ini, Presiden Pas, Datuk Seri Hadi Awang serta beberapa ahli lain mengetuai rombongan 10 NGO yang membantah konvensyen tersebut.

Kira-kira 100 orang hadir untuk menghantar memorandum tersebut kepada wakil Jabatan Perdana Menteri di depan pintu masuk utama Parlimen.

Beberapa kumpulan aktivis berkumpul di luar bangunan parlimen yang membantah keputusan kerajaan untuk menandatangani ICERD, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Kumpulan itu kemudian berarak sejauh 1km daripada pagar parlimen sambil melaungkan pelbagai slogan anti-ICERD.

Keranda simbolik kepada lunturnya agama dan orang Melayu dalam Perkara 153  Perlembagaan sekiranya ICERD diterima oleh kerajaan.

Selain itu, kumpulan itu membawa keranda sebagai simbolik “kematian” bagi orang Melayu dan Islam di negara ini.

Setibanya mereka di bangunan Parlimen, kumpulan itu berjumpa dengan Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang, timbalannya Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan pemimpin muda Pas Nik Abduh Nik Abdul Aziz untuk menyerahkan memorandum kepada kerajaan

Beberapa pemimpin Umno turut berada dalam perhimpunan tersebut, selain aktivis Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan kumpulan pelajar pro-Pas Gabungan Mahasiswa Islam Semalaysia (Gamis).

Demontrasi  itu  diadakan susulan Menteri di Jabatan Perdana Menteri P. Waytha Moorthy pada 24 Oktober  lalu dilaporkan berkata kerajaan komited untuk meratifikasi enam triti hak asasi manusia termasuk ICERD pada suku pertama 2019.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini berkata ICERD hanya akan ditandatangani selepas berunding dengan semua kaum di Malaysia.

Dr Mahathir menyifatkan latar belakang demografi Malaysia yang menyaksikan pelbagai lapisan kaum dan bangsa hidup bersama amat sensitif kepada perkara tertentu.