Malaysia Dateline

Penerimaan pengundi Semenyih semakin positif, kata Aiman

Dengan hari ini adalah hari terakhir berkempen menjelang pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, calon Pakatan Harapan (PH) Muhammad Aiman Zainali yakin penerimaan positif yang diterima sepanjang kempen akan diterjemah kepada kemenangan esok.

Katanya, pada permulaan kempen sejak 16 Feb lepas, penerimaan penduduk Semenyih kepada kempennya agak perlahan namun sejak beberapa hari terakhir berkempen, beliau dan jentera PH mendapati ‘mood’ pengundi semakin memihak kepadanya dan yakin momentum ini satu kelebihan buat PH.

“Penerimaan penduduk setempat sangat baik dan berdasarkan laporan yang diterima daripada jentera pun positif.

“Kita akan terus berkempen hingga malam ini, untuk tarik pengundi supaya menyokong kita esok, jentera PH pun sangat baik, kerja kuat turun ke kampung,” katanya di sini hari ini.

PRK itu menyaksikan pertembungan empat penjuru antara Muhammad Aiman, Zakaria Hanafi (Barisan Nasional), Nik Aziz Afiq Abdul (Parti Sosialis Malaysia) dan calon Bebas, Kuan Chee Heng.

Kerusi Semenyih kosong susulan kematian penyandangnya, Bakhtiar Mohd Nor, 57, yang mewakili PH, pada 11 Jan lepas akibat serangan jantung.