Malaysia Dateline

Peneroka desak tubuh RCI siasat Isa Samad

 

Dibelenggu pelbagai isu salah tadbir urus dan penyelewengan, wakil peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), Abdul Rahman Ramli mendesak supaya Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan pada kadar segera.

Beliau berkata, penubuhan RCI terbabit penting terutama dalam menyiasat secara teliti penyelewengan Felda terutama ketika dipengerusikan Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad.

“Kita (Peneroka Felda) cadangkan tubuhkan RCI siasat Felda khususnya zaman Isa Samad,” tegasnya di Konvensyen Pakatan Harapan 2018 di Shah Alam hari ini.

Walaupun Isa tamat tempoh perkhidmatannya sebagai Pengerusi Felda pada Januari tahun lalu, pemimpin Umno itu terus memegang jawatan sebagai Pengerusi Felda Global Ventures Holdings Bhd. (FGV) sebelum meletak jawatan pada 19 Jun 2017.

Namun, serentak itu Isa yang pernah digantung daripada Umno selama tiga tahun kerana terbabit dalam politik wang, diberikan pula jawatan pemangku pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

Sehubungan itu, Abdul Rahman turut menggesa supaya Felda Tecnoplant sebagai agensi pengurusan ladang dikaji semula memandangkan banyak isu kebersihan dan hasil gagal ditangani.

“Jutaan ringgit duit Felda hilang pada pimpinan Umno-BN.

“Hari ini peneroka dibebani hutang yang tinggi. Sampai bila peneroka harus menanggung hutang?” soalnya.

Beliau mendedahkan ramai peneroka Felda hari ini menanggung hutang mencecah ratusan ribu ringgit.

“Apa akan jadi diwarisi anak-anak peneroka yang hidup dalam keadaan berhutang?” katanya.

Menyifatkan pengurusan Felda hari ini begitu rakus ibarat kokok berderai-derai, ekor bergelumang tahi, beliau berkata, peneroka sepatutnya hidup lebih selesa dan tenteram.

“Pembersihan ladang seluruh Felda bermasalah dari segi kebersihan ladang dan pemerolehan hasil.

“Sepatutnya peneroka selesa kerana ditadbir sebuah agensi yang besar,” tegasnya.

Beliau turut mendedahkan rancangan pihak Felda yang difahamkan akan membina penempatan bagi pekerja asing.

“Kegagalan urus tadbir Felda diburukkan lagi dengan tindakan Felda Tecnoplant yang merancang untuk membangunkan rumah bagi pekerja asing.

“Atas alasan kekurangan tenaga kerja di ladang, kos pembangunan penempatan ditanggung oleh peneroka.

“Adakah peneroka perlu menanggung sedangkan perjanjian dahulu Felda Tecnoplant yang sepatutnya bertanggungjawab,” bidasnya.

Abdul Rahman turut membangkitkan isu perumahan generasi kedua Felda yang sehingga sekarang masih banyak gagal disiapkan mengikut tempoh yang sewajarnya.