Peneroka Felda diarah tunjuk geran hak milik sebelum dapat insentif RM5,000

Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) mempersoalkan tindakan Felda yang mensyaratkan peneroka menunjukkan geran hak milik sebelum diberi insentif RM5000 yang diumumkan perdana menteri.

Peneroka Felda diarah tunjuk geran hak milik sebelum dapat insentif RM5,000

Presidennya Mazlan Aliman mengakui dihubungi ramai peneroka Felda dan waris atau pentadbir kebun yang ragu dan keliru dengan arahan Felda itu termasuk diminta melengkapkan semua dokumen merangkumi geran hak milik kebun dan rumah.

“Ia antara syarat bagi membolehkan mereka layak mendapatkan insentif RM5,000 seperti di umumkan YAB Perdana Menteri.

“Anak mohon penjelasan Pengarah Besar Felda, mengapa dokumen yang penting seperti hak milik diperlukan, walhal ketika durian runtuh RM 15,000 sebelum PRU 13, dokumen yang sama telah diserahkan kepada Felda,” katanya.

Menurutnya, rekod dan maklumat peneroka telah sedia disimpan di Ibu Pejabat Felda maupun Felda peringkat rancangan dan arahan supaya dokumen itu diserahkan sebelum peneroka menerima insentif amat meragukan.

Di saat Felda bermasalah, ujarnya pemberian dokumen dan salinan hak milik tanpa alasan kukuh tentu sekali menimbulkan kebimbangan.

“Ia boleh terdedah kepada manipulasi yang akhirnya menjerat peneroka,” katanya.

{loadposition myposition}

Menurut Mazlan, seperti mana durian runtuh RM15,000 yang kemudiannya diketahui bersumberkan penyenaraian FGV di Bursa Malaysia, Anak yakin pemberian RM5,000 itu datangnya dari duit peneroka sendiri.

Pada 2013, Felda membelanjakan RM1.7 bilion bagi menyerahkan RM15,000 wang ‘durian runtuh’ kepada 112,635 peneroka setelah FGV disenaraikan di Bursa Malaysia.

“Anak menyokong peneroka Felda mengambil wang RM5,000 berkenaan kerana ia hak peneroka.

“Namun jangan sesekali mengikat diri dengan ber’aku janji’ bagi memenangkan kerajaan yang korup dalam PRU14 ini.

“Harga diri peneroka dan warga Felda umumnya tidak semurah dedak yang ditabur; sebaliknya kerajaan baru yang dipilih mestilah membawa agenda perubahan bagi mengembalikan Felda di atas landasan yang betul,” katanya dalam satu kenyataan.