Peneroka, generasi Felda gesa kerajaan tolak cadangan pihak luar kuasai FGV

Peneroka, generasi Felda gesa kerajaan tolak cadangan pihak luar kuasai FGV

Peneroka dan Generasi Felda mendesak kerajaan menolak sebarang cadangan pihak luar untuk menguasai Felda Global Venture Holding Berhad (FGV).

Sebaliknya kerajaan perlu memberi peluang kepada pengurusan Felda yang baharu membentangkan pelan pemulihan Felda melalui penguasaan keatas FGV.

Ini termasuklah tanah ladang yang dipajakkan, kilang pemproses sawit dan penyelidikan perlu dikembalikan kepada Felda seiring Kertas Putih yang dibentangkan untuk menjamin kelestarian Felda

Ketua Pemuda AMANAH Kawasan Tenggara, Ridhuan Esa berkata, sejak beberapa bulan ini terdapat tawaran oleh pihak ketiga untuk menyelamat dan memulihkan Felda melalui pengambilalihan FGV.

Ini katanya, merujuk kepada satu artikel yang di siarkan oleh The Edge bertajuk Syed Mokhtar Making His Move On FGV pada 30 September 2019 dan The Malaysian Insight bertajuk Upside To Syed Mokhtar Buying Into FGV bertarikh 3 Oktober 2019 menyatakan tindakan untuk mengambil alih 20% pegangan daripada Felda dengan cagaran tanah di Nusajaya, menyemak semula perjanjian pajakan 350,000 hektar tanah dan beberapa cadangan lain yang telah digariskan.

“Perlaksanaan cadangan yang dinyatakan kelak, Felda dan peneroka dijanjikan FGV akan berada di landasannya serta akan membantu memulihkan masalah aliran tunai Felda,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Ridhuan, beliau bimbang FGV sengaja diurus untuk terus menanggung kerugian agar ia boleh diambil alih dengan harga yang murah oleh mana-mana pihak dengan bayangan untuk menyelamatkannya.

Ridhuan berpendapat, dengan mengambilalih 20 peratus pegangan daripada Felda akan mendedahkan risiko yang lebih besar.

Ini kerana, katanya, Felda tidak mempunyai kuasa penentu di dalam FGV bagi memastikan segala dasar dan halatujunya mesti mengutamakan kepentingan Felda dan peneroka.

“Persoalannya juga, bagaimana FGV boleh memulihkan pendapatan Felda jika pegangan ke atas FGV lebih kecil.

“Risiko manipulasi kadar perahan oleh kilang juga boleh terjadi dan akan menjejaskan pendapatan peneroka di mana hasil yang dari ladang peneroka diberi kadar perahan yang rendah dari yang sepatutnya.

“Perkara ini juga sedang berlaku di mana jika dilihat pada laporan suku ke-3 FGV mengumumkan prestasi kadar perahan minyak sawit (OER) adalah 21peratus sedangkan secara purata peneroka hanya menerima sekitar 19 hingga 20 peratus sahaja,” ujarnya.

Jelas beliau, ia memberi kesan kepada pendapatan peneroka yang mana perbezaan 1 petratus sekalipun boleh menyebabkan kerugian ribuan ringgit setahun kepada peneroka.

Selain itu, katanya, Felda juga tidak mendapat insentif hantaran daripada kilang-kilang sawit FGV yang dibekalkan BTS yang sepatunya dapat memberi pendapatan tambahan kepada Felda dan peneroka.

Ridhuan mendakwa pihak ketiga hanya ingin menguasai bank tanah untuk menyaingi Sime Darby yang mempunyai bank tanah melebihi 590,000 hektar.

“Selain itu menguasai industri hiliran seperti 68 buah kilang pemprosesan sawit juga menjadi idaman dalam memastikan monopoli komoditi utama negara dan dunia menjamin pendapatan masa depan,” jelasnya dalam kenyataan itu.

Beikutan itu, beliau mempersoalkan rasional pengambilalihan tersebut ketika CIMB Reseacher telah meramalkan harga komoditi itu akan meningkat menjelang 2021.

Ridhuan berkata, para peneroka tidak mahu pengambilalihan itu rugi dan tidak berprestasi dijadikan alasan untuk menutup kegagalan pengurusan yang disengajakan bagi memastikan kapitalis mencari peluang menguasainya dengan harga yang murah.

Semalam,  Kerajaan tidak menolak kemungkinan menjual FGV Holdings Berhad (FGV) kepada tokoh korporat, Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary berikutan hutang yang ditanggung syarikat itu terlalu besar, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri berkata, adalah menjadi kebiasaan hartanah dijual kepada pihak swasta yang mampu membangunkannya, sekali gus memberi pulangan kewangan kepada kerajaan.

Jelasnya, dalam isu FGV mungkin berlaku rundingan bagi membolehkan Syed Mokhtar mengambil alih kepentingannya bagi membolehkan syarikat itu kembali untung.