Peneroka terbela jika PH bentuk kerajaan

Peneroka terbela jika PH bentuk kerajaan

Tuduhan liar kononnya kerajaan Pakatan Harapan (PH) akan menutup Felda jika membentuk kerajaan pasca pilihan raya umum ke-14 (PRU14) adalah satu pembohongan yang tidak masuk akal.

Menyanggah tohmahan palsu yang diulang-ulang itu, kerajaan PH sebaliknya akan memperkukuh institusi itu sekaligus membela generasi baru Felda, tegas naib pengerusi DAP kebangsaan yang juga calon parlimen Raub, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji.

Menurut beliau, Umno tidak lagi memiliki integriti sehingga terpaksa menggunakan sentimen ‘takut’ demi mengekalkan kuasa mereka.

“Mereka nak terus berkuasa dan terpaksa menutup segala kesalahan mereka dengan cerita-cerita sebegini.

“Tapi rakyat sendiri melihat apa yang telah dilakukan pemimpin Umno. Bukan sahaja isu Felda tapi Mara, Tabung Haji, KWSP, 1MDB dan sebagainya,” katanya dipetik Roketkini.

Tegas Tengku Zul, 10 janji 100 hari pentadbiran kerajaan PH jelas mempamerkan iltizam untuk memperkasa kedudukan Felda dengan menghapuskan hutang-hutang tidak wajar yang dipaksa ke atas peneroka Felda.

Kerajaan PH juga katanya bukan sahaja akan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan DiRaja menyiasat skandal Felda tetapi juga badan itu akan menyiasat skandal penyelewengan 1MDB, MARA dan Tabung Haji selain merombak struktur kepimpinan badan-badan terbabit.

Selain janji 100 hari, manifesto PH juga menunjukkan komitmennya dengan Iltizam Khusus Untuk Warga Felda melibatkan seluruh kepentingan warga Felda dan generasi baru peneroka.