Malaysia Dateline

Penerokaan mineral REE Kedah akan menjejaskan bekalan air 3 negeri utara

Keputusan Menteri Besar (MB) Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor meluluskan permit penerokaan berskala besar di Ulu Muda akan menjejaskan bekalan air di tiga buah negeri iaitu Perlis, Kedah dan Pulau Pinang serta membahayakan bekalan air bagi 4.2 juta penduduk.

Demikian dinyatakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP dan PBA Holdings Sdn Bhd, Datuk Ir Jaseni Maidinsa.

Jelasnya, Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA), Kementerian Sumber Air dan Tenaga (NRE) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) mesti bekerjasama untuk menghentikan usaha penerokaan mineral berskala besar yang dirujuk sebagai ‘rare earth elements’ (REE) di Ulu Muda, Sik dan Baling kerana ia adalah kawasan tadahan air terbesar dan terpenting di Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER).

“Operasi penerokaan berskala besar di Kompleks Hutan Simpan Ulu Muda seluas 163,000 hektar akan melibatkan pembukaan tanah berskala besar di mana sahaja mineral tersebut ditemui. Malahan penebangan pokok, perataan bukit, kerja mendirikan kuari besar dan menggali ke bumi akan menyebabkan kemusnahan besar di persekitaran hutan hujan serta juga perlombongan akan memberi kesan buruk kepada Sungai Muda sebagai sumber air yang strategik.

“Tiada cara untuk menjalankan perusahaan perlombongan berskala besar di Ulu Muda tanpa memusnahkan hutan hujan yang menadah air hujan yang mengalir ke Sungai Muda sebagai air mentah dan sebenarnya Ulu Muda merupakan penghubung pertama dalam rangkaian nilai bekalan air NCER yang memenuhi keperluan air penduduk dan petniagaan di Perlis, Kedah dan Pulau Pinang.

“Harus diketahui bahawa kira-kira 70 peratus air mentah Perlis dan 96 peratus air mentah Kedah datangnya dari Ulu Muda serta lebih 80 peratus
air mentah yang diekstrak oleh PBAPP dari Sungai Muda, di muka Sauk Lahar Tiang di Pulau Pinang adalah berasal dari Ulu Muda, ” tegas beliau.

Sejajar dengan itu kata Jaseni, Ulu Muda tidak dapat terus berfungsi sebagai kawasan tadahan air semula jadi utama untuk tiga negeri NCER sekiranya hutan hujannya ditebang, bukitnya diratakan dan lanskapnya dicalarkan oleh operasi perlombongan serta potensi kerosakan kemungkinan akan kekal.

Tambah beliau, penerokaan REE di Ulu Muda sudah pasti akan meletakkan perkhidmatan bekalan air untuk tiga negeri dalam keadaan bahaya dan ini akan membahayakan bekalan air serta perkhidmatan awam yang penting bagi 4.2 juta orang penduduk termasuklah ribuan perniagaan yang berusaha bertahan dan menghidupkan semula operasi mereka ketika pandemik global Covid-19 akan turut dibebani dengan risiko.