Malaysia Dateline

Penerusan Projek LCS didakwa jaga kepentingan BNS bukan TLDM

Mantan Menteri Pertahanan dan Timbalannya mendakwa keputusan Jemaah Menteri membuat Penerusan Projek Littoral Combat Ship (LCS) semata-mata untuk menjamin kepentingan kontraktor dan subkontraktor Boustead Naval Shipyard (BNS), dan bukan untuk memastikan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mendapat bilangan kapal tempur yang menepati keperluan semasa.

Baru-baru ini Menteri Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah mengeluarkan kenyataan menjelaskan bahawa kerajaan telah memutuskan untuk meneruskan kontrak bersama Boustead Naval Shipyard (BNS) bagi projek Littoral Combat Ship (LCS).

Dalam kenyataan bersama Mohamad Sabu dan Liew Chin Tong melahirkan kebimbangan sekiranya niat kerajaan hanya terhad kepada kepentingan kontraktor, dan bukan kepada pengguna kapal itu.

“Istilah “TLDM” dan “keperluan peralatan” tidak sekali pun disebut di mana-mana dalam kenyataan ini.

“Kami cukup bimbang sekiranya niat kerajaan hanya terhad kepada kepentingan kontraktor, dan bukan kepada pengguna kapal itu.

“Tidak dinafikan bahawa tidak eloklah untuk kita menutup periuk nasi sesiapa, lagi-lagi ketika wabak COVID-19 sedang melanda negara,” katanya.

Beliau mengingatkan kerajaan bahawa tujuan utama projek ini dijalankan selain membangunkan industri pertahanan tempatan adalah untuk melengkapkan TLDM dengan peralatan moden.

Katanya, pemikiran Kabinet yang gagal meletakkan keperluan TLDM sebagai pertimbangan utama dalam hal ini mengecewakan.

Menurut Mohamad kenyataan menteri berkenaan tidak menyentuh tentang rancangan lanjut kerajaan dan jadual untuk memastikan kapal-kapal ini akan disiapkan.

Malah, katanya tiada sebarang ulasan juga tentang masalah hakiki yang menyebabkan kelewatan itu berlaku.

“Sepertimana yang telah kami jelaskan berkali-kali di Parlimen dan juga melalui pelbagai catatan, terdapat beberapa faktor yang perlu dipertimbangkan.

“Pertama, apakah status reka bentuk terperinci (detailed design) kapal LCS? Adakah detailed design tersebut telah siap dan diterima oleh autoriti reka bentuk (design authority), iaitu syarikat DCNS Naval Group?

“Selagi mana isu ini tidak diselesaikan, selagi itulah kemajuan kapal tak akan ke mana,” ujar beliau.

Tambahan pula, jelasnya Menteri Pertahanan telah menjelaskan bahawa DCNS Naval Group tidak akan terlibat dalam usaha menyelamatkan kontrak ini.

“Bagaimanakah isu detailed design ini dapat diselesaikan jika autoritinya sendiri tidak dilibatkan bersama?” soalnya.

Kedua, apakah status dana berjumlah RM1 bilion yang telah hilang daripada akaun projek? Apakah status forensik audit?

Pada bulan Disember yang lalu, Menteri Pertahanan telah menjelaskan dua-dua perkara ini sedang diusahakan.
Apakah status semasa siasatan? Adakah duit yang hilang itu akan dikembalikan? Sekiranya tidak, apakah langkah lanjutan kerajaan untuk memenuhi jurang kewangan yang wujud hasil daripada kehilangan dana ini?

Sebenarnya, pada 11hb Februari 2020, mantan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad telah mengarahkan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat kehilangan dana RM 1 billion yang diperuntukkan untuk project LCS.

Beliau turut mempersoalkan sekiranya kerajaan tidak akan menyalurkan apa-apa dana tambahan, berapa buah kapal LCS yang akan disiapkan?

“Adakah wajar untuk kerajaan menerima kurang daripada empat buah kapal, walhal lebih daripada dua pertiga jumlah siling telah dibayar?

“Lebih penting lagi, apakah masa depan untuk kelompok kapal LCS seterusnya? Program 15-to-5 menyatakan keperluan untuk 12 kapal secara keseluruhannya, terbahagi kepada dua kelompok, setiap satunya terdiri daripada enam buah kapal.

“Sekiranya enam kapal tidak disiapkan sepenuhnya, apakah akan terjadi kepada kapal-kapal seterusnya dalam 10 tahun akan datang?”soalnya lagi.

Justeru beliau menyeru pihak kerajaan agar mengambil pendekatan yang lebih holistik terhadap isu ini.

“Memang terang lagi bersuluh bahawa penamatan kontrak ini akan menjejaskan kontraktor pertahanan tempatan. Tetapi persoalan juga timbul tentang keupayaan TLDM dalam masa terdekat.

“Segala kegagalan dan kepincangan yang dihadapi dalam pengendalian projek ini perlu juga disemak, disiasat, dan seterusnya dibukukan dan dijadikan iktibar. Perkara ini tidak boleh dibiarkan untuk berulang lagi,” katanya.