Malaysia Dateline

Banner minyak

Penetapan harga minyak ambil kira kepentingan pembeli dan penjual

Penetapan harga runcit produk petroleum yang akan diputuskan pada mesyuarat jemaah menteri esok, akan mengambil kira kepentingan pembeli serta penjual.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata menjadi harapan kerajaan agar dapat menurunkan harga minyak, namun pelbagai aspek perlu dipertimbangkan terlebih dahulu.

“Kita (kerajaan) suka nak turunkan harga minyak tapi orang yang jual minyak pun kena buat duit sikit, kalau dia tak buat duit dia tak jual minyak dan kita tak dapat minyak.

“Jadi kita kena timbang dahulu antara pembeli dan penjual (sebelum buat keputusan berkaitan harga minyak),” katanya kepada pemberita selepas menghadiri ‘Program Back to School eKasih Langkawi ‘ di Sekolah Menengah Kebangsaan Kedawang, Langkawi, hari ini.

Semalam Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dalam satu kenyataan berkata, harga runcit petrol RON97, RON95 dan diesel dikekalkan buat masa beberapa hari ini, sehingga pertimbangan dan persetujuan Jemaah Menteri, yang akan bermesyuarat pada 2 Jan 2019, diperoleh.

Pada masa ini, harga runcit bagi RON95 adalah RM2.20 seliter, RON97 (RM2.50) dan diesel (RM2.18).-Bernama.