Malaysia Dateline

Penetapan tarikh kes saman Rosmah dijangka hari ini

Prosiding pengurusan kes saman membabitkan syarikat pemborong barang kemas dari Lubnan terhadap isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dijangka ditetapkan hari ini.

Ia akan disebut semula dihadapan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi Siti Faraziana Zainuddin dan akan menetapkan hakim serta tarikh bagi mendengar kes itu.

Isnin lalu, Rosmah sudah memfailkan pernyataan pembelaan terhadap tuntutan saman itu dengan mendakwa syarikat Global Royalty Trading SAL membuat penghantaran 44 barangan kemas itu atas kemahuan mereka sendiri.

Memetik laporan Berita Harian, beliau mendakwa ia adalah kemahuan syarikat itu sendiri tanpa sebarang kewajipan daripada Rosmah membuat pembelian.

Firma guaman Tetuan Geethan Ram mewakili Rosmah melalui kenyataan media mendakwa anak guamnya tidak membeli barangan kemas yang menjadi subjek utama dalam kes saman terbabit, sehubungan itu hak pemilikan sah barangan berkenaan tidak pernah berpindah kepada anak guamnya.

Syarikat yang berpangkalan di Beirut memfailkan saman itu pada 26 Jun lalu dengan mendakwa, Rosmah sebagai pelanggan tetapnya dalam keadaan tertentu ada meminjam beberapa barang kemas dan memulangkan semula.

Defendan didakwa akan menerima barang kemas daripada plaintif melalui dirinya sendiri, pekerja atau ejen di Kuala Lumpur, Dubai atau Singapura.

Plaintif mendakwa barang kemas yang dihantar diiringi dengan memorandum hantar serah yang menggambarkan barang serta harga barang itu, termasuk terma dan syarat tertentu.

Pada 10 Februari lalu, melalui serahan tangan, jurujual/ejen Samer Halimeh dan Maen Shakhshir menyerahkan sebanyak 44 barang kemas kepada defendan.