Pengakuan Arab Saudi derma RM2.6 bilion seolah-olah PM ‘dibeli’

Pengakuan Arab Saudi derma RM2.6 bilion seolah-olah PM ‘dibeli’

Presiden Amanah Mohamad Sabu mendakwa Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak seolah-olah dibeli apabila menteri luar Arab Saudi mengakui bahawa mereka menderma kepada akaun peribadi Najib.

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Pengakuan memberi derma kepada Najib itu telah menyebabkan Malaysia seolah-olah telah dibeli untuk menyertai blok yang diketuai oleh Arab Saudi.Presiden Amanah Mohamad Sabu mendakwa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak seolah-olah dibeli apabila menteri luar Arab Saudi mengakui bahawa mereka menderma kepada akaun peribadi Najib.

Beliau berkata, Arab Saudi kini sedang mengetuai suatu blok besar di Timur Tengah dan dilihat sedang bertelagah dengan kumpulan dari blok lain.

“Oleh itu pengakuan memberi derma kepada Najib itu telah menyebabkan Malaysia seolah-olah telah dibeli untuk menyertai blok yang diketuai oleh Arab Saudi itu,” kata beliau dalam kenyataan media hari ini.

Khamis lalu, Menteri Luar Arab Saudi, Adel Al-Jubeir mengaku bahawa negara itu memang mendermakan wang ke akaun peribadi Najib.

Beliau berkata, pihaknya sedar tentang derma itu dan tidak mengharapkan apa-apa balasan.

Katanya, pihaknya juga mengetahui peguam negara Malaysia telah menjalankan siasatan teliti mengenai perkara itu dan mendapati tiada salah laku.

Mohamad berkata, Malaysia adalah sebuah negara yang dikenali khususnya dalam rangkaian negara OIC dan NAM di atas sifatnya yang berkecuali.

Namun katanya, derma tersebut menyebabkan imej hebat Malaysia selama ini terjejas dan Malaysia tidak lagi dilihat berkecuali dan boleh
memainkan peranan.

“Nama Malaysia harum dalam beberapa isu termasuk peperangan Bosnia, isu Afghanistan dan juga sokongan terhadap Palestin.

“Perdana menteri sebelum ini dapat memainkan peranan dalam OIC untuk menyatakan pandangan, yang membawa nilai positif kepada OIC dan umat
Islam.

“Imej hebat Malaysia selama ini akhirnya telah terjejas dengan derma ini. Malaysia tidak lagi dilihat berkecuali dan boleh memainkan
peranan,” katanya.

Justeru beliau memohon Najib meletakkan jawatan secara terhormat bagi keluar daripada kemelut ini.

Tindakan meletakkan jawatan penting bagi menamatkan segala bentuk spekulasi dan tohmahan kepada Malaysia sekaligus memulihkan imej negara yang kini buruk di Timur Tengah termasuk di Eropah.

“Malaysia hendaklah kembali memainkan peranan seperti dahulu menjadi orang tengah, pendamai, dan bukannya pengadu domba. Itulah peranan yang dimainkan oleh semua perdana menteri sebelum Najib Tun Razak,”katanya.

TAGS