Pengakuan bersalah Tim Leissner bukti skandal 1MDB wujud, kata Lim Guan Eng

Pengakuan bersalah Tim Leissner bukti skandal 1MDB wujud, kata Lim Guan Eng

Berikutan bekas Pengarah Asia Goldman Sachs, Tim Leissner mengaku bersalah atas dua tuduhan jenayah melibatkan syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB), ia menunjukkan bahawa skandal berkenaan benar-benar wujud, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media di Parlimen hari ini.

Leissner, 48 tahun, dituduh mengubah wang haram untuk bertujuan melanggar FCPA melalui pemberian rasuah terhadap pegawai-pegawai di Malaysia dan di Abu Dhabi, lapor Astro Awani.

Beliau juga dilaporkan didakwa menipu institusi kewangan terkemuka dunia itu dengan tujuan melanggar Akta Pencegahan Rasuah Pegawai Asing (FCPA).

Susulan pengakuan bersalah beliau itu, Leissner akan mengembalikan wang sebanyak RM180 juta (USD 43.7 juta) kepada kerajaan Amerika Syarikat (AS).

Ujar Lim Guan Eng, ia merupakan bukti kukuh untuk menafikan dakwaan mana-mana pihak yang cuba mempertahankan mereka yang terlibat dengan skandal berkenaan.

Sementara itu menurut laporan itu lagi, Jho Low dan bekas pegawai Goldman Sachs Roger Ng didakwa di Amerika Syarikat oleh Jabatan Kehakiman (D.O.J.) atas tuduhan konspirasi untuk mengubah wang haram dari 1MDB.

Sebanyak tiga dakwaan jenayah telah difailkan oleh D.O.J. di sebuah mahkamah di New York terhadap Jho Low dan Roger Ng.

COMMENTS