Pengakuan KPN anggota polis terlibat dengan IS meresahkan, kata Pas

Pengakuan KPN anggota polis terlibat dengan IS meresahkan, kata Pas

Pas menyifatkan, pengakuan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar bahawa dua daripada 15 yang ditangkap berkait serangan di Puchong ini yang dikatakan didalangi IS adalah anggota polis telah menimbulkan keresahan di kalangan rakyat.

Ia juga sedikit sebanyak menjejaskan keyakinan rakyat terhadap PDRM, kata timbalan presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Namun begitu, katanya, sekarang waktu untuk bersatu-padu dan saling mempercayai, dan bukan saling salah-menyalahi.

“PAS berharap KPN dan PDRM dapat mengambil penambahbaikan segera, memperbaiki segala kelemahan dalam pemantauan dan membuat persediaan terbaik agar pasukan sentiasa berada dalam tahap kesiapsiagaan tertinggi dalam membendung ISIS daripada terus melakukan kerosakan kepada negara.

“PAS juga meminta orang ramai turut memainkan peranan dengan sentiasa menjaga keselamatan di tempat awam sebagai langkah berjaga-jaga,” katanya lagi.

Dalam sidang akhbar di Bukit Aman, Kuala Lumpur semalam polis mengesahkan terdapat pembabitan kumpulan IS dalam letupan bom di sebuah pusat hiburan di Puchong pada 28 Jun lalu.

Khalid berkata, ia adalah serangan pertama IS di negara ini dan pihaknya telah menahan 15 orang, termasuk dua anggota polis bagi membantu siasatan kes itu.

Tuan Ibrahim berharap umat Islam jangan terlibat dengan Gerakan IS dan semua kumpulan ekstremis lain, kerana ia bertentangan dengan  ajaran Islam.

Katanya, Rasulullah diutus untuk bawa rahmat bukan bencana.

“Islam diturunkan untuk membawa misi penyelamat, samada kepada individu atau negara.

“Sikap melampau bercanggah dengan manhaj dakwah para ambiya’.

“Bahkan semua agama melarang sikap kelampauan,” katanya.

Katanya, lagi, dalam perjuangan agama dan melaksanakan Islam, umat Islam tidak boleh bergopoh-gapah, dan tidak boleh mengambil jalan mudah.

Mereka yang inginkan kemenangan yang cepat akan bertindak secara agresif dan meminggirkan segala hukum larangan Islam sehingga menimbulkan gambaran yang salah terhadap Islam, tambahnya.

COMMENTS

Wordpress (0)