Malaysia Dateline

Pengakuan seorang Diktator

Tun Dr Mahathir Mohamad dalam tulisan terkini di blognya semalam, mengupas mengenai pelabelan yang dikenakan ke atas dirinya selama 22 tahun menjadi perdana menteri Malaysia sebagai seorang pemimpin diktator bukannya pemimpin demokrat.

Menurut Dr Mahathir media dan orang ramai antara pihak yang tidak pernah gagal untuk meletakkan label diktator kepada dirinya.

“Setiap kali nama saya di sebut ianya pasti di dahului atau di ikuti dengan perkataan ‘diktator’.

“Hari ini saya menyedari mengapa sebagai Perdana Menteri Malaysia saya di gambarkan sebagai seorang diktator. Banyak perkara perkara yang saya lakukan ketika itu jelas bersifat diktator,” ujarnya.

Pengerusi Pakatan Harapan ini berkata, beliau mula cenderung sebagai diktator diawal kariernya ketika menjawat menteri pelajaran.

“Perintah pertama yang saya berikan ialah supaya plat yang tertera perkataan ‘Menteri’ di atas nombor pendaftaran kereta rasmi saya di cabut. Saya tidak tahu sebabnya. Mungkin saya bimbang kepada sebarang cubaan untuk membunuh saya. Tetapi, tidak seperti menteri lain yang lebih demokratik saya tidak pernah mempunyai plat “menteri” di kereta saya.

“Saya juga meminta enam polis pengiring. Tetapi saya di beritahu oleh mereka seorang menteri hanya di berikan seorang anggota polis berpakaian preman. Saya memberi amaran kepada mereka supaya tunggu ketikanya saya menjadi Perdana Menteri.

“Apabila saya menjadi Perdana Menteri saya minta diberikan anggota UTK (Unit Tindakan Khas) berpakaian preman sebagai pengiring, termasuk lah 10 anggota polis pengiring bermotosikal (outrider). Tetapi saya cuma di berikan empat. Ia sememangnya tidak mencukupi. Saya merasa begitu tidak selamat. Saya sentiasa terpaksa melihat kiri dan kanan juga belakang untuk mengesan lebih awal sebarang penyerang,” ujarnya yang kini diiringi dikalangan pengawal peribadi yang tidak ramai bilangannya tetapi tidak mudah dikenali oleh orang ramai.

Oleh itu Dr Mahathir berkata beliau dengan pengawal ‘halimunan’ ini akan bertindak mengawalnya pada jarak 10 kaki apabila ada dikalangan orang ramai yang mahu bersalaman atau berswafoto dengannya tidak akan dibenarkan.

Beliau berkata selepas dilantik sebagai Perdana Menteri beliau telah membebaskan 21 tahanan politik di bawah ISA yang ditahan oleh pemimpin sebelumnya.

“Sudah tentulah pembebasan seperti itu adalah suatu kebiasaan kepada mana mana juga diktator. Tiada Perdana Menteri dari negara demokrasi yang pernah berbuat begitu sebelum itu. Malah mereka akan menambah jumlah yang di tahan sebab itu adalah sesuatu yang demokratik untuk di lakukan.

“Tetapi bagaimana pula tentang Ops Lalang. Tun Hanif di dalam sebuah video mengatakan bahawa itu adalah keputusan beliau. Beliau adalah penasihat keselamatan saya dan saya tidak boleh melangkaui beliau. Menurut beliau sebagai penasihat keselamatan, keputusan adalah di tangan beliau.

“Sudah tentu ianya tidak benar. Saya melangkaui beliau dan mengarahkan supaya seramai mungkin di tangkap dan di siksa. Jika beliau menafikannya mungkin di sebabkan dedak. Tetapi sehingga ke hari ini beliau tidak kelihatan seperti seseorang yang menyukai dedak.

“Seorang lagi ialah Tan Sri Abu Talib, Peguam Negara di zaman saya. Baru baru ini beliau mengumumkan yang saya tidak bertanggungjawab ke atas pemecatan Tun Salleh Abas. Tidak mungkin ini benar. Semua melihat bagaimana saya mencekak leher Salleh Abas dan menghumban beliau keluar dari mahkamah kepunyaan beliau. Saya tidak tahu mengapa Abu Talib harus menafikan apa yang di percayai ramai. Mungkin saya telah memberikan beliau dedak. Saya tidak ingat.

“Sebagai isteri Perdana Menteri, Hasmah juga di kenali sebagai FLOMH (First Lady of my house). Beliau begitu mengemari permata merah jambu dan beg beg tangan berjenama Hermes.

” Kebanyakan di beli di pasar pasar karat di London dan Hong Kong. Dia pakai setiap hari di leher, tangan dan jari. Terdapat begitu banyak gambar beliau yang sarat dengan barangan kemas yang berharga. Tiada siapa yang tidak perasan bahawa beliau adalah isteri kepada seorang diktator. Dan beliau juga ada kakitangan, khusus untuk merasa setiap makanan beliau.

“Anak anak saya memegang pelbagai jawatan tertinggi di dalam kerajaan dan Umno. Dan sudah semestinya lah mereka mendapat kontrak kerajaan yang telah mereka jual pada harga yang tinggi. Sebab itu lah mereka antara yang terkaya di negara ini. Dan tanpa di ketahui oleh sesiapa, Mukhriz telah dilantik sebagai calon Timbalan Perdana Menteri Pakatan Harapan.

“Saya telah menubuhkan lima industri berat yang mana sebahagian besar dari modal nya telah saya gelapkan. Wang tersebut di simpan di akaun akaun rahsia di beberapa buah bank. Begitu rahsia akaun tersebut sehingga saya sendiri tidak tahu di bank yang mana satu wang tersebut di simpan. Tapi tiada apa yang perlu di risaukan. Lambat laun pihak polis akan menemui nya. Sebuah lagi RCI akan di tubuhkan.

“Tun Abdullah dan bakal-Tun Najib telah melakukan beberapa pencarian untuk wang yang telah saya curi. Setakat ini mereka masih belum dapat mengesan apa apa. Tidak berputus asa dengan kegagalan tersebut, Najib telah menemui yang sejumlah RM30 billion telah di rugikan oleh BNM 30 tahun dahulu. Dan memandangkan saya adalah Perdana Menteri ketika itu, maka mungkin wang tersebut telah di curi oleh saya.

“Jadi beliau telah menubuhkan sebuah Suruhanjaya Siasatan Di Raja dan yang sudah pastinya mendapati saya bersalah.

“Saya mewarisi sebuah jet perniagaan Boeing 737 dari Tun Hussein. Ianya begitu besar dan mahal. Oleh itu saya mengambil keputusan untuk menjual jet tersebut dan membeli sebuah jet yang lebih kecil. Dan wang yang di jimatkan saya percaya telah di masukkan ke dalam akaun rahsia saya. Yang saya tidak tahu di mana. Dan sepatutnya perlu di adakan sebuah penyiasatan oleh pihak polis bagi mengesan akaun tersebut.

“Sebagai diktator saya memastikan kediaman Perdana Menteri di Putrajaya mempunyai terowong yang menyambungkan nya dengan KLIA. Jika berlaku sebarang perkara yang tidak di ingini saya boleh melarikan diri melalui terowong tersebut ke kapalterbang yang sedang menunggu. Sehingga sekarang terowong tersebut masih belum di temui.

“Dengan wang yang saya curi, saya membina dua istana peribadi di Country Heights dan The Mines. Ianya di kelilingi oleh pagar tinggi dan di kawal 24 jam sehari oleh pasukan keselamatan. Saya juga memiliki beberapa ekor anjing yang garang. Dan sesiapa yang melawat akan di periksa untuk memastikan mereka tidak membawa sebarang senjata.

“Ketika saya hendak bersara, ada yang mencadangkan supaya mereka di benarkan membina sebuah perpustakaan memorial untuk saya. Sebagaimana semua Presiden Amerika mempunyai perpustakaan memorial sebagai mengenang jasa mereka.

“Sebagai diktator saya telah mengarahkan supaya memorial tersebut di namakan atas nama Perdana Menteri sebelum saya. Saya mengarahkan supaya ianya di namakan Yayasan Kepimpinan Perdana. Segala pencapaian Perdana Menteri sebelum saya mesti di simpan di sana. Dan sudah tentulah segala rekod saya sebagai diktator di jaga rapi dan simpan selama lama nya di sana.
“Segala cenderahati yang telah di berikan kepada saya sebagai PM, termasuk lah 26 biji kereta, di simpan di Galleria di Langkawi. Malangnya kerajaan enggan memulangkan semua nya kepada saya.

“Begitu banyak perbuatan autoritarian yang telah saya lakukan. Tetapi untuk memendekkan cerita, sebagai diktator saya mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan.

“Sebagaimana yang dilakukan oleh semua diktator. Hitler dan Mussolini malangnya meninggal dunia sebelum mereka sempat meletak jawatan. Franco dari negara Sepanyol dan Salazar dari Portugal baru berura-ura untuk meletak jawatan tetapi telah terlebih dahulu meninggal dunia.

“Tetapi saya bertuah. Saya boleh bersara sebelum saya mati. Ini mengesahkan lagi bahawa saya adalah sebenar benar diktator.
“Saya telah mengarahkan beberapa menteri untuk menerpa ke atas pentas dan menangis apabila saya mengumumkan persaraan.

“Tiada siapa yang sepatutnya tahu segala perbuatan autoritarian saya. Cukuplah sekadar mengatakan yang saya adalah seorang diktator.

“Jika anda ditanya mengapa mengelar saya diktator, katakan lah sebab itu adalah gelaran yang di sebut oleh semua orang sebelum ini. Jadi mungkin ianya benar.

“Jadi teruskanlah mengelar saya diktator autoritarian, Mahazalim dan Mahafiraun, tidak demokratik dan yang telah menjadi begitu kaya melalui rasuah.

“Itu lah yang sebenar benarnya. Dan tiada yang lebih benar.” ujarnya.