Malaysia Dateline

Pengalaman berdepan pesakit HIV, mengapa doktor ini rasa tersentap

Apabila dapat sampul surat begini ke meja saya, bermakna bertambah lagi seorang pesakit HIV baru. Borang hasil ujian HIV yang dihantar ke makmal hospital akan dikembalikan kepada kami dalam sampul surat yang ‘sealed’ sebegini rupa untuk menjaga kerahsiaannya.

Judgemental? Tidak sama sekali. Sebagai doktor, tanggungjawab saya untuk merawat pesakit ini.

Sudah tentu, saya akan tanya dari mana dia dapat jangkitan ini. Ini penting untuk mengenalpasti faktor risiko dan juga nak mengesan pasangan seksual.

Mengikut Akta Penyakit Berjangkit 342, pasangan seksual perlu diberitahu status HIV dalam masa tempoh 24 jam, tapi selalunya kita akan bagi masa kepada pesakit untuk memberitahu sendiri.

Pesakit datang setiap kali rawatan, saya periksa, saya tanya khabar, nilai tahap kesihatan dan terakhir sekali, saya tetap perlu bertanya, “Bila kali terakhir ada hubungan seks? Ada pakai kondom tak?”

Kalau pesakit menjawab, ada, tugas saya untuk mengingatkan dia bahawa seks bebas adalah berisiko.

Tapi kalau dia nak bercerita seolah-olah dia seronok melakukan perkara tersebut tanpa ada riak nak insaf, sudah tentu saya sebagai manusia biasa yang Muslim akan rasa tersentap.

Saya manusia. Tidak mampu jadi robot tidak beremosi sepanjang masa. Tipulah kalau tidak terasa apa-apa apabila saudara Muslim ada yang memilih untuk berbangga dengan dosa.

Tapi, Alhamdulillah, sepanjang saya jadi doktor, tidak pernah dapat pesakit HIV yang sebegitu. Mereka tetap ada rasa malu.

Benda salah, tetap salah.

Baca juga Doktor hospital swasta tak peka hak, sensitiviti penghidap HIV, dakwa pesakit