Pengalaman dibuli peraturan karut, khutbah merapu KDN

Pengalaman dibuli peraturan karut, khutbah merapu KDN

Keluar kampus, pertengahan 1986, saya berjinak-jinak dengan penulisan politik. Sekurang-kurangnya tiga tabloid menampung minat saya; Watan, Bumi dan Mingguan Tanahair. Ia dianggap akhbar nyamuk. Kandungannya menjurus kepada pembangkang. Ada juga wadah yang menawarkan laporan dan analisis yang kelihatan kritis terhadap pemerintah.

Awal 1987, saya dijemput Naib Presiden Pas, Ustaz Nakhaie Ahmad, menjadi pemberita Harakah, lidah rasmi parti yang baru dapat permit. Sebelum itu Pas menerbitkan makalah politik yang tiada lesen. Ada berbentuk risalah dan lebih tersusun dalam saiz majalah, menumpukan kepada fokus khas. Tidak perlu permit sebab bukan penerbitan berkala.

Kisah Harakah dibuli KDN boleh disusun dalam hikayat yang panjang. Kesukaran mendapatkan pencetak, syarat-syarat ketat isi kandungan, larangan jualan kepada umum, penambahan sekatan demi sekatan.

Hinggakan ada sindiran, “mudah lagi nak dapat bekalan dadah daripada beli Harakah.” Saya mendokumentasikan ranjau pengalaman tersebut dalam penerbitan khas sempena 20 tahun Harakah 1987-2007, dengan judul “2 Dekad Terajui Perubahan”.

Ironi sekali, sebuah parti yang sah ditubuhkan sejak 1951 dan tidak pernah dihalang daripada bertanding dalam setiap pilihan raya, seawal tahun 1955, tetapi akhbar rasminya tidak boleh dijual secara terbuka dan terhad kepada ahli parti sahaja. Bukankah ini satu peraturan tidak masuk akal?

KDN juga acap kali membuat teguran bertulis kepada Harakah. Sesekali pihak editorial dan pengurusan dipanggil; amaran diberi secara bersemuka. Kadang-kadang isu terlalu remeh-temeh; seolah-olah pegawai KDN yang buta kewartawanan itu ketua pengarang Harakah.

Beberapa kali juga saya terlibat. Membuang masa sahaja mendengar leteran orang bebal yang menurut perintah itu. Lebih baik tidur-lena berehat di rumah bagi mengumpul tenaga baharu “melawan rejim”.

Sudahlah perit menunggu lama permit diluluskan, banyak pula pantang-larang yang menyekat rangkaian pengedarannya. Jika anda – bukan ahli Pas – dapat membeli Harakah di gerai-gerai akhbar, itu bukan tanda Malaysia sudah hormati kebebasan media atau kerajaan meraikan hak anda, tetapi hanya ehsan pemerintah untuk tidak menguatkuasakan peraturan karut.

Selalunya penguatkuasa KDN akan membuat operasi rampasan Harakah apabila mereka mengesan jumlah edarannya meningkat. Bilangan sirkulasi Harakah mudah dijangka; bukankah mata-mata PDRM ada di mana-mana menjadi pengintip?

Harakah mendapat sambutan luar biasa sejurus Anwar dipecat dan diaibkan pada September 1998. Rakyat dahagakan maklumat sahih dalam situasi media perdana menyembunyi dan menggelapkan fakta dan cerita sebenar.

Sesungguhnya akhbar alternatif, yang menampung suara terpendam rakyat, diterima baik ketika media kawalan pemerintah jatuh merudum. Cetakan Harakah mencanak, daripada sekitar 60,000 naskhah kepada hampir 400,000 sewaktu panas Reformasi membahang.

Saya sempat mengetuai editorial majalah Tamadun terbitan Oktober 1998, yang diulang cetak sebanyak tiga kali, mencecah 150,000 naskhah. Fokus kami, tragedi Anwar. Rasanya ia mencatat sejarah dan memecah-rekod; amat jarang sekali majalah bulanan terpaksa ulang cetak bagi memenuhi tempahan berganda.

Tamadun milik rakan saya, Muttaqin; permit majalah itu diwarisi daripada almarhum ayahnya, Amaluddin Darus, bekas pemimpin kanan Pas.

Ketika diminta saya mengetuainya, Tamadun lebih kepada majalah persoalan semasa yang agak seimbang laporannya. Cetakan sekitar 5,000 naskhah. Tiada isu kontroversi.

Saya mengubah rentak. Isu-isu lebih panas dengan paparan tokoh-tokoh agama dan politik pembangkang menjadi hiasan muka depan. Memang umpan itu berhasil.

Jualan meningkat sehingga 30,000 naskhah. Tetapi ia mengundang perhatian khas KDN. Ya, ada-ada sahaja “kesalahan” kami yang diteropong, apabila nampak menyentuh wilayah sensitif. Waktu itu, sekitar 1997 – konflik dalaman Umno membabitkan lapis paling atas mula bergolak.

Saya bersama seorang wartawan Tamadun dan Muttaqin sendiri diarah menemui pegawai kanan Unit Kawalan Penerbitan KDN, waktu itu pejabatnya di Kompleks Damai, Jalan Ipoh.

Tidak jauh dari kamar kerja kami di Jalan Pahang. KDN memandang berat kandungan Tamadun yang dilihat melaga-lagakan Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad dan timbalannya, Anwar Ibrahim.

Wawancara panjang saya bersama Dr Rais Yatim, bekas Timbalan Presiden Semangat 46 berjudul “Rombak sistem kuasa”, turut dipertikai. Juga dianggap sensitif adalah laporan kami tentang pertembungan Mahathir dengan Mufti Selangor, Almarhum Ishak Baharom.

Dalam pertemuan itu kami hanya mendengar leteran dan “khutbah merapu” pegawai kanan itu. Banyak juga soalannya dilontarkan, tapi belum sempat saya menjawab, dia terus mengomel panjang.

Dituduhnya Mahathir itu seorang sosialis, dianggap Anwar pro-Islam. Lepas satu, satu diulasnya sesuka hati. Seolah-olah kami di depannya tunggul. Dalam diam, hati saya panas membengkak. Mahu saja saya bangun menghempas pintu keluar. Terpaksa menahan sabar mengingatkan lesen Tamadun milik orang.

Saya melepaskan geram dengan merakamkan pertemuan yang sia-sia itu dalam sebuah buku politik. Rupanya ia dapat dikesan oleh pegawai atasan KDN. Lagi sekali kami dipanggil, kali ini oleh ketua unit.

Awal-awal lagi, saya diperingatkan agar butiran pertemuan itu tidak boleh didedahkan. Difahamkan, pegawai terdahulu telah ditukar ekoran “tidak menjaga mulut”.

Saya senyum sendiri. Kasihan juga; dia nampak baik dan ramah, tapi ada elemen membuli! Mungkin pengajaran kepada pegawai yang langsung tidak menghormati kebebasan akhbar. Semua orang mahu ditundukkan dengan kuasa mereka.

Bersambung…

* Artikel ini merupakan sebahagian daripada bab bertajuk “Lorong Sunyi-Gelap Media Bebas Bertukar
Ceria-Meriah” yang dipetik daripada buku Revolusi Tanpa Darah, Februari 2019.

Bagi yang berminat, sila hubungi Luqman Hakim 019-2903291.