Pengalaman mengejar, bersemuka dengan Aiman

Pengalaman mengejar, bersemuka dengan Aiman

PASCA PRK DUN SEMENYIH

Panas terik di Semenyih pada 23 Februari lalu terasa menggigit-gigit kulit. Selesai membuat tinjauan mendengar suara pengundi sambil mendaki Bukit Broga mulai jam 7 pagi; saya dan jurugambar, Syafiq Iskandar kemudiannya singgah di Masjid Kampung Rinching Hulu.

Usai membersihkan diri dan solat Zohor berjemaah dengan penduduk tempatan, saya dikejutkan dengan panggilan telefon daripada Pengarang Bersekutu akhbar Suara Keadilan, Redzuan Shamsudin yang bertanyakan lokasi saya ketika itu.

Mahu berkongsi pemerhatian perjalanan kempen, katanya. Beliau juga turun meninjau kempen PRK Dun Semenyih dengan menjengah bilik gerakan Pakatan Harapan (PH). Saya pula sudah masuk kali ketiga bertandang membuat tinjauan di N.24 ini.

Perbualan ‘orang media’ selama sejam sambil membasahkan tekak dengan air sejuk lagi segar dari penapis Coway di beranda masjid lama yang menaungi 13 surau kariah itu bukanlah sembang ‘biashe-biashe’, bak kata lelucon bekas Presiden Umno, Najib Razak.

Ada bibit-bibit kekalahan PH yang kami congakkan tetapi masih lagi cuba ditepis dengan menganggap mustahil BN begitu mudah menawan ‘Semonyih’, kalau mengikut loghat masyarakat di Beranang.

Namun ketika di Broga, beberapa pengundi ditemui sudah meluahkan rasa tidak senang kepada kerajaan PH.

Kata mereka – bukan kata saya – janji PRU-14 PH banyak yang ‘ke laut’ selain bertanya kepada saya kembali sama ada benarkah pemimpin Melayu PH takut bertegas dengan pemimpin DAP lantaran banyak insiden yang mengguris akal budi Melayu Islam dianggap mereka seperti dibiar tergantung sepi.

Mujur sembang saya dan Redzuan tidak jauh terlajak masa apabila Syafiq mengingatkan misi kami seterusnya untuk mengejar calon PH, Muhammad Aiman Zainali yang dijadualkan berada di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Bandar Rinching 5 & 6.

Tiba di lokasi yang mempunyai jumlah pengundi India kedua paling ramai di Dun Semenyih selepas PDM Bandar Rinching 1-4 itu, kelibat Muhammad Aiman dengan beberapa orang Bersatu di sekelilingnya kelihatan di luar khemah bilik gerakan.

Mereka ketika itu menantikan perarakan lebih 10 unit lori mengibarkan bendera PH yang mengisi program kempen pada hari tersebut sebelum calon kemudiannya singgah ke perkampungan Orang Asli Broga.

Sela masa begitulah kami dengan pas media tergantung di dada fikir peluang yang ada untuk ‘menjolok’ (ayat orang media untuk meminta reaksi) Aiman selaku bakal wakil rakyat.

Apa lagi tiada media lain ketika itu. Tentu ada angle yang eksklusif dan menarik untuk laporan nanti, saya mulai teruja.

Soalan pertama tidak lebih sekadar mukadimah iaitu tentang perjalanan kempen pada hari tersebut yang berbaki lagi seminggu kempen.

Namun, jawab anak muda berusia 30 tahun itu, “Tadi dah jawab banyak soalan. Baru saja tadi balik dari Pusat Media. Baru saja sampai ni…”

Terus saya memintas kepada soalan tentang sambutan pengundi terhadap kempen PH, Aiman menjawab,“Pagi tadi saya dah jawab. Soalan sama je…” katanya sambil tersengih dalam nada kebudak-budakan.

Tidak berputus asa terus bertanyakan tentang tuntutan penduduk setempat berkenaan hospital di Semenyih, dia menjawab, “Dah nak gerak dah. Kami nak pergi kampung Orang Asli selepas ini.”

(Reaksi Aiman dalam tanda pembuka dan penutup kata itu adalah ‘sebiji-sebiji’ atau apa yang ditranskripsi daripada perakam)

Aiman duduk membelek kuku sambil menelefon selepas dingin melayan Malaysia Dateline.

Membelek kuku

Agak mengejutkan, Bendahari Bersatu Hulu Langat itu terus berlalu pergi tetapi tidaklah menaiki kenderaan untuk ke destinasi kempen yang disebutkannya sebentar tadi.

Sebaliknya, Aiman yang difahamkan masih mengikuti pengajian ijazah doktor falsafah (PhD) itu duduk di kerusi berhampiran di bawah pokok sambil membelek-belek jari dan kukunya!

Bekas penuntut kelas pertama Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik di UiTM itu juga pada masa sama dilihat bercakap di telefon dengan gajet itu dikepit antara telinga dan bahunya.

Detik relaks Aiman ketika itu begitu unik bagi saya. Melihatkan Syafiq sudah fokus untuk merakamkan gambar perarakan lori itu, spontan saya menangkap gambar aksi selamba Aiman itu dengan telefon sendiri tepat jam 4.12 petang.

Sepanjang tujuh tahun bergelar wartawan, ini kali pertama saya menyaksikan seorang calon wakil rakyat yang maaf saya katakan “tidak pandai bercakap” apa lagi mesra media.

Lebih-lebih lagi dalam tempoh genting dua minggu kempen pilihan raya, lazimnya calon bertanding akan lagi bimbang jika pihak media kurang memberi lensa tumpuan terhadapnya.

Meskipun kecewa yang bukan sedikit melihat reaksi Aiman yang ‘malas’ melayan media, kami tetap profesional untuk mengikuti menantu kepada penyandang N.24 Semenyih, Allahyarham Bakhtiar Mohd. Nor itu ke lokasi kempen yang dimaksudkannya.

Bersama tentatif kempen calon yang sentiasa dirujuk dengan sentiasa peka terhadap sebarang kemungkinan perubahan, sayang seribu kali sayang, jejak Aiman bersama pasukan kempennya entah ke mana menghilang dari radar!

Bersama perasaan yang bercampur-baur dengan perut yang kembali berkeroncong dan tekak minta dibasahi, saya bersetuju dengan cadangan Syafiq yang juga merangkap pemandu untuk menamatkan misi ‘mengejar’ Aiman pada hari itu.

Kebetulan, seorang lagi jurugambar, Wan Zahari Wan Salleh menelefon bertanyakan kami sedang berada di mana. Staf Malaysia Dateline yang berdedikasi ini baru sahaja selesai bertugas membuat liputan kempen ‘Kak Wan’ – panggilan mesra bagi bekas Presiden PKR yang kini Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Bermula dari nyaman pagi di Bukit Broga kemudian dingin layanan Aiman, akhirnya kekecewaan saya dan Syafiq terubat dengan keenakan semangkuk cendol di Jalan Kajang Perdana bersama Wan Zahari yang kami panggil ‘Abang Wan’.

Di bawah angin petang sepoi-sepoi bahasa bersama sepinggan rojak mamak pelengkap selera, hilang letih kami bertiga bertugas sepanjang hari kempen PRK Dun Semenyih, 23 Februari lalu.

Kami “bercendol” selepas seharian membuat liputan kempen PRK Dun Semenyih, 23 Februari lalu.