Malaysia Dateline

Pengalaman pandemik di bumi anbia, Jordan

Berbanding dengan Malaysia dengan keluasan 330.8 km persegi, Jordan yang lebih dikenali sebagai Kerajaan Hasyimiah Jordan bekeluasan 89.34 km persegi. Sebuah negara umat Islam yang kaya dengan sejarah dan pernah dihuni oleh ramai para nabi dan anbiya’. Sebuah bekas tanah jajahan Inggeris dan merdeka pada tahun 1946, dan merupakan kerajaan dengan raja berperlembagaan dengan parlimen mempunyai fungsi tertinggi didalam pentadbiran kerajaan.

Jordan turut terjejas dengan pandemik COVID-19 dengan jumlah kes keseluruhan sebanyak 763,922, angka kematian 9948 dan angka sembuh keseluruhan 746,406 (Data pada 25hb Julai 2021). Namun angka jangkitan harian mengikut data dari 1 hingga 25 Julai 2021 adalah dalam lingkungan antara 430 hingga 530 sehari. Jordan bukanlah sebuah negara yang kaya-raya sepertimana Arab Saudi atau United Arab Emirates (UAE), walaupun memiliki rizab gas asli sebanyak 230 billion kaki padu namun ekonominya tidak tertumpu kepada Industri gas, tetapi memfokus kepada pembangunan sains dan teknologi, industri pembuatan, perlombongan dan peruncitan.

Dalam menghadapi pandemik COVID-19, Jordan di antara negara Arab sangat tegas dan memiliki sebuah pentadbiran kerajaan yang sangat bertanggung-jawab. Ketika pandemik mula berlaku di China, Jordan telah menubuhkan Jawatankuasa Kebangsaan Epidemiks (Jordan’s National Epidemics Committee) seawal Januari 2020, walaupun pada ketika itu tiada lagi kes COVID-19. Jawatankuasa ini telah menggariskan beberapa garis panduan dan protokol kesihatan yang ketat bagi menghadapi landaan dan ledakan wabak. Kes pertama COVID-19 dikesan seawal 2hb Mac 2020 dan disahkan mula merebak dua minggu kemudiannya.

Sejak 15hb Mac 2020 pendekatan awalnya menutup sekolah, mengharamkan semua perhimpunan awam, menutup sempadan negara dan menutup laluan masuk penerbangan antarabangsa. Seawal 17 hb Mac 2020 semua kawasan peranginan dan pelancongan ditutup dan diisytihar sebagai zon militari tertutup (closed military zone). Kabinet mempunyai satu suara iaitu menutup semua pintu-pintu yang boleh menyebabkan ledakan wabak tanpa bertolah ansur.

Pada tarikh yang sama kerajaan mendapati satu majlis perkahwinan yang dihadiri oleh 400 undangan di bandar Irbid telah menyebabkan kerajaan mengambil tindakan tegas segera dan terus mengisytiharkan darurat dengan pendekatan yang sangat tegas tanpa tolak ansur dan tidak dwi standard (WHO) mengiktiraf pendekatan lockdown kerajaan Jordan sebagai yang paling tegas!).

Pada awalnya bantuan bekalan makanan dihantar kewasan-kawasan terjejas, namus disebabkan urusan logistik yang sukar, rakyat telah dibenarkan membeli bahan makanan dengan hanya berjalan kaki di sekitar kompleks kejiranan di antara jam 10 pagi hingga 6 petang, tepat jam 6 petang siren akan dibunyikan dan tiada siapa akan dibenar keluar rumah.

Penjarakan sosial, pemakaian pelitup muka adalah satu kewajipan dengan denda yang dikenakan bagi yang ingkar adalah sebanyak US$20-70. Seawal bulan Mei 2020 Jordan telah berjaya melandaikan jangkitan kepada hampir sifar (selama 5 hari berturutan di antara 1-5hb Mei 2020 tiada jangkitan baharu berlaku). Namun angka meningkatkan kembali mulai 7hb Mei 2020 akibat dari kelonggaran pergerakan yang diberikan. Kerajaan Jordan telah belajar dari situasi ini dan sentiasa berunding dan mendengar pandangan pakar, parti-parti politik dan menghargai pandangan saintis dan menyediakan data-raya yang tepat dalam menganalisis pandemik.

Dengan hanya membandingkan dapatan penulis dan situasi yang berlaku di Malaysia, sesungguhnya pendekatan kerajaan keseluruhannya pada pandangan penulis adalah lemah dan gagal. Perlaksanaan undang-undang dwi-standard hanya akan menyebabkan situasi menjadi lebih gawat jika tidak ditangani, tambahan pula dengan protokol-protokolah melawan wabak yang beranjak-anjak dan mengelirukan. Perlanggaran SOP bukan sahaja oleh rakyat marhaen tetapi melibatkan pimpinan utama kerajaan termasuk Timbalan Speaker, Menteri Besar, Menteri dan Timbalan Menteri serta ahli-ahli parlimen. Kompaun yang dilihat dwi-standard juga meresahkan rakyat.

Manakala kegagalan dalam menyediakan strategi menangani pandemik dan pelancaran vaksin (vaccine rollout) dipandang seolah-oleh bukan suatu kegagalan. Sekiranya ada pandangan dan teguran, maka si penegur akan mendapat pingat ‘kera’ dan ‘tupai’.

Sejak January 2021 seramai tiga (3) orang anggota kabinet Jordan telah meletak jawatan kerana isu berkaitan kebolehcapaian polisi kerajaan dalam menangani pandemik dan perlanggaran SOP.

Anggota kabinet yang paling penting dalam situasi pandemik adalah Menteri Kesihatan sendiri pada bulan Mac 2021 yang lalu telah meletak jawatan kerana kekurangan bekalan balang oksigen yang telah menyebabkan enam kematian pesakit COVID-19.

Insiden kematian ini berlaku disebuah hospital di Bandar AlSalt kira-kira 23km dari ibu negara Jordan, Amman. Kematian yang disebabkan pesakit tidak mendapat bantuan oksigen di hospital bukan sahaja menimbulkan kemarahan keluarga mangsa tetapi juga Raja Abdullah yang telah menitahkan dari awal pandemik bahawa semua hospital harus bersedia dengan selengkapnya bagi menghadapi sebarang kemungkinan ketika berlaku kecemasan.

Insiden kematian kerana ketiadaan ‘backup’ bantuan oksigen ini telah memaksa Menteri Kesihatan Nathir Obeidat mengambil tanggung-jawab moral (moral responsibility) dengan meletak jawatan. Nathir Obeidat sendiri dalam kenyataan media ketika mengumumkan perletakan jawatannya menyatakan bahawa beliau mengambil tanggung-jawab moral (moral responsibility) dan amat kesal terhadap insiden yang berlaku.

Bagaimanakah yang terjadi di Malaysia apabila kes sedang mencanak naik dengan jumlah kematian yang meningkat sedangkan darurat kesihatan telah diisytiharkan sebagai strategi mencegah lonjakan angka jangkitan pandemik. Ini membuktikan polisi dan pendekatan ini telah gagal sepenuhnya. Namun tiada siapa pun mengambil tanggungjawab moral baik seluruh anggota kabinet dan apatah lagi Perdana Menteri!

Sebelumnya pada bulan Februari 2021, dua (2) orang menteri iaitu Samir Mobeideen selaku Menteri Dalam Negeri dan Bassam Talhouni yang merupakan Menteri Undang-Undang telah meletak jawatan kerana hanya didapati menghadiri jamuan makan malam di sebuah restoran telah melakukan perlanggaran kepada sekatan yang telah dikenakan untuk seluruh rakyat Jordan tanpa mengira status. Mereka bukan setakat dikompoun tetapi telah didakwa “melanggar sekatan dan undang-udang darurat” yang mereka sendiri sebagai pemegang taruh perlaksanaan undang-udang tersebut.

Penulis mendapat khabar, ada YB Menteri menghadiri majlis makan di rumah bekas Perdana Menteri, salah seorang Timbalan Speaker menganjurkan dan hadir jamuan terbuka makan durian dan majlis ‘mentong’ dan khabarnya ada Menteri Besar memandu uji kenderaaan baharu tanpa sebarang tanggungjawab moral diambil, setakat kompaun dengan jumlah yang tidak sedikit menjejaskan poket mereka. Tiada sedikit pun tanggungjawab moral diambil! Dan masih mendabik dada seolah-oleh merekalah menjuarai agenda melawan pandemik.

Mungkin benar mesej rakan-rakan penulis bahawa di Malaysia kini kita hidup dalam dua darjat yang berasingan: Darjat Rakyat Marhaen dan Darjat Golongan Kayangan.

Penulis merupakan Felo Akademi Sains Islam yang berpengkalan di Jordan. Penulisan ini adalah merupakan pendapat dan pandangan penulis dan tidak menggambarkan pendirian akademi.