Malaysia Dateline

Pengalaman sebagai Adun akan diguna untuk berkhidmat di Kimanis

Sebagai bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) selama lima penggal, Datuk Karim Bujang yakin mampu memberi perkhidmatan terbaik sekiranya terpilih selaku ahli Parlimen kawasan Kimanis di Sabah.

Calon Parti Warisan Sabah (Warisan) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis itu berkata, pengalaman sebagai wakil rakyat sebelum ini akan dimanfaatkan sepenuhnya dalam menyampaikan suara rakyat Kimanis sekali gus memberi perkhidmatan terbaik kepada penduduk di kawasan berkenaan.

Karim, 67, pernah menjadi Adun Bongawan dari 1990 hingga 2013 selain pernah menjawat jawatan kanan dalam Kabinet Sabah sebagai pembantu menteri.

“Saya akan melakukan yang terbaik. Saya pun biasa menjadi Adun. Saya tahu apa perlu dilakukan oleh (seorang) wakil rakyat,” katanya ketika ditemui pemberita selepas proses penamaan calon PRK Parlimen Kimanis di sini, hari ini.

Proses penamaan calon berlangsung di Dewan Datuk Seri Panglima Haji Mohd Dun Banir itu, menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara Karim dan calon Barisan Nasional (BN) Datuk Mohamad Alamin, 48 tahun.

Mengulas lanjut, Karim yang juga Ketua Bahagian Warisan Kimanis, bagaimanapun berkata beliau tidak mahu terlalu yakin, sebaliknya, akan terus bekerja keras bagi memastikan kemenangan parti pada pilihan raya itu.

Dalam pada itu, Karim merakamkan penghargaan dan berterima kasih atas kehadiran Presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal serta beberapa pemimpin kanan Pakatan Harapan (PH) yang mengiringi beliau ke pusat penamaan calon pagi ini.

Antara pemimpin PH yang hadir ialah Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Majlis Penasihat Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) Mohamad Sabu, Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir dan Penasihat DAP Lim Kit Siang.

Karim menyifatkan kehadiran kesemua pemimpin itu sangat bermakna, sekali gus meningkatkan keazamannya untuk meneruskan perjuangan membela rakyat Kimanis.

“Pada hari ini, kita dapat lihat kerjasama antara semua (Warisan, UPKO dan PH) selain sokongan antara satu sama lain. Ini sangat bermakna. InsyaAllah, kita akan hasilkannya … kita akan bekerja kuat,” katanya.

Sementara itu, Mohamad menyifatkan pertandingan satu lawan satu berdepan Karim bagi kerusi PRK Kimanis sebagai ‘perlawanan persahabatan’.

“Ini satu perlawanan persahabatan antara orang lama dan orang baharu yang saya kenal cukup lama ketika beliau bersama Umno dan menjadi Adun selama (hampir) 25 tahun.

“Saya orang baharu, ibarat anak didik beliau (Karim), tetapi beliau sudah beralih parti dan kita (BN) akan lawan (calon Warisan),” katanya yang juga Ketua Bahagian Umno Kimanis.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi PRK Parlimen Kimanis pada 18 Jan, manakala pengundian awal pada 14 Jan.

Parlimen Kimanis mempunyai dua kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) iaitu Bongawan dan Membakut dengan jumlah 29,664 pemilih layak mengundi, termasuk sembilan pengundi awal dan seorang pengundi tidak hadir berada di luar negara.

Pemilih itu terdiri 14,800 lelaki dan 14,864 perempuan dengan Dun Bongawan mempunyai 16,273 pemilih dan Dun Membakut 13,391 pemilih.

— BERNAMA