Malaysia Dateline

Pengalaman terkurung di KLIA2: Menteri Kesihatan jadi petugas jam 3 pagi

Saya berada di Kota Kinabalu beberapa hari dan pulang ke Semenanjung pada Ahad, 27 September lalu sebaik selesai tugasan. Tatkala tiba di Lapangan Terbang Kota Kinabalu, barulah saya dimaklumkan secara rasmi bahawa penumpang yang meninggalkan Sabah bermula pagi itu terpaksa mengikuti prosedur baru KKM (disebut SOP 2.0) iaitu menjalani saringan ‘swab test’ untuk mengesan Covid-19 apabila sampai di KLIA2 kelak.

Berita itu agak mengejutkan saya, kerana saya mula membayangkan beberapa tugasan penting yang menanti di tempat kerja yang terpaksa diubah atau ditangguhkan. Rungutan yang sama juga dinyatakan oleh majoriti penumpang yang berpendirian sebenarnya mereka terpaksa pulang ke Sabah tidak lain hanyalah bagi tujuan mengundi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) sehari sebelum itu.

Saya pasti itu adalah keputusan terbaik kerajaan demi memastikan penularan Covid-19, khasnya dari empat kawasan ‘Zon Merah’ di Timur Sabah dikawal sepenuhnya. Kami yang mengambil penerbangan bukan dari zon terbabit turut menerima perhatian sama demi mengelakkan berlakunya sebarang penularan.

Kakitangan AirAsia di kaunter penerbangan memaklumkan bahawa penumpang akan ditanda dengan pemakaian gelang ‘pink’ sebaik proses ‘swab-test’ dilakukan. Seterusnya diletakkan di bawah kawalan kuarantin rumah (HSO) mengikut taklimat SOP terbaru untuk tempoh maksimum 2 minggu, atau pelepasan diberi sejurus keputusan ‘swab-test’ di KLIA2 itu diterima dan negatif dalam tempoh 2-3 hari berikutnya.

Pasrah dengan keputusan terbaru itu, tulisan saya ini sebenarnya bertujuan berkongsi beberapa kerisauan yang saya sendiri lalui sepanjang melalui proses berkaitan SOP 2.0, untuk perhatian pihak berkaitan, khasnya Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), agensi keselamatan yang terlibat, dan pihak yang terlibat dalam menggubal dan melaksanakan perintah terbaru ini.

Taklimat prosedur

Sepanjang penerbangan tersebut, sehinggalah kami dipanggil untuk beratur pada jam 3 pagi hari berikutnya (Isnin, 28 September 2020), tiada satu pun taklimat atau penerangan prosedur SOP 2.0 diberi oleh mana-mana pihak.

Kami hanya disambut oleh seorang kakitangan keselamatan KLIA2 sebaik memasuki dewan menunggu setelah menyerahkan borang setebal 10 muksurat untuk diisi. Apabila ditanya dengan pelbagai soalan berkaitan borang dan SOP 2.0 tersebut, beliau mengakui tidak dapat memberikan sebarang jawapan kerana taklimat sepatutnya diberikan oleh KKM sahaja, bukannya oleh kakitangan keselamatan KLIA2.

Hanya selepas itulah baru kami fahami bahawa pihak MKN atau KKM khasnya tidak mempunyai kakitangan yang mencukupi untuk pelaksanaan tugasan baru membuat ‘swab-test’ yang dimulakan sejak pagi itu. Beliau memaklumkan hasil dari pemerhatian pihak KLIA2, isu paling utama adalah pihak berwajib tidak sempat bersedia sepenuhnya sebelum SOP 2.0 itu diarahkan pelaksanaannya secara tergesa-gesa.

Tempoh menunggu untuk ‘swab-test’

Apabila ditanya berkaitan tempoh menunggu, tiada juga jawapan diberikan. Namun kakitangan keselamatan itu mengesahkan bahawa pada masa tersebut (jam 9 malam) proses ‘swab-test’ yang sedang dilaksanakan di zon saringan sebenarnya masih lagi berkisar pada penumpang yang tiba di KLIA2 pada jam 10 pagi tersebut. Ini bermaksud selepas lebih 11 jam ketibaan di KLIA2, ujian tersebut masih belum dapat diselesaikan.

Ini sesuatu yang sungguh luar jangka dan tidak munasabah. Makluman itu sebenarnya mengejutkan semua pihak, iaitu KKM menghadapi krisis ketidak-cukupan petugas yang sungguh kritikal sehingga penumpang dipaksa menunggu hampir saparuh hari hanya untuk ‘swab-test’ dilakukan. Ramai penumpang mula mempersoalkan kegagalan itu yang mengakibatkan mereka terpaksa mengalami pembatalan penerbangan transit dan juga terpaksa merancang semula pelbagai perjalanan dan beberapa tugasan lain yang terkesan.

Rupanya benar seperti dijangka, kami hanya dipanggil untuk mula beratur bagi melakukan penyerahan borang saringan pada jam 3 pagi, dan selesai keseluruhan proses hanya sekitar jam 6 pagi. Tempoh penantian separuh hari yang sungguh tidak diterima akal sebenarnya.

Keperluan asas

Sebaik sahaja ditempatkan di dalam sebuah dewan menunggu (‘departure hall’ KLIA2 sebenarnya) tanpa sebarang makluman untuk beberapa jam, perasaan resah jelas tergambar di wajah lebih 100 penumpang itu. Antara yang jelas adalah keperluan mendesak mereka untuk mendapatkan air minuman, khasnya bagi penumpang yang perlu menggunakan ubatan tertentu mengikut masa yang ditetapkan. Sedih apabila kami mendapat makluman terdapatnya di kalangan penumpang terpaksa memberikan alasan kebenaran keluar ke bilik air semata-mata mahu mengambil ‘air paip’ bagi kegunaan pengambilan ubat ahli keluarga mereka.

Namun, tidak dinafikan sejak itu jugalah kelihatan beberapa penumpang mula menunjukkan semangat kesetiakawanan yang tinggi apabila ramai yang kelihatan berkongsi apa jua minuman atau makanan sesama mereka, cukup untuk mengalas perut yang kosong. Hanya sekitar jam 12 malam penumpang dibekalkan sebotol air mineral, dan makanan bungkus mula dibekalkan pada jam 1 pagi, 6 jam selepas ketibaan!

Foto yang ditularkan di media sosial menunjukkan suasana dewan kecil berbangku dengan puluhan penumpang bergelimpangan tidur di lantai itu adalah gambaran sebenar yang amat menyedihkan, terutama menyaksikan ramai warga emas, ibu dengan bayi kecil, dan mereka yang sakit terpaksa turut melalui pengalaman menunggu lebih 11 jam tanpa keperluan asas tersebut.

Bahkan permohonan beberapa warga emas dan keluarga yang mempunyai anak kecil untuk mendapatkan pemerikasaan lebih awal turut juga ditolak. Ini kerana, menurut petugas merupakan arahan KKM yang menentukan bahawa penyaringan hanya dilakukan mengikut turutan penerbangan sahaja.

Kawalan keselamatan

Selepas pelbagai usaha mendapatkan maklumat atau penerangan gagal diperolehi, dalam suasana resah tersebut terdapat pula sebahagian penumpang yang berang dan gagal mengawal perasaan telah mula mengambil tindakan sendiri untuk keluar dan menerpa ke kawasan perbarisan panjang mengharapkan ‘swab-test’ dilakukan segera ke atas mereka.

Tindakan beberapa kakitangan keselamatan KLIA2 (wanita kesemuanya) yang cuba menasihati penumpang tersebut bersabar dan kekal di dalam dewan menunggu itu langsung tidak diendahkan.

Ketika itulah berlakunya perkara yang cukup merisaukan semua pihak apabila berlakunya percampuran dan sentuhan sesama penumpang, termasuklah penumpang yang pulang dari beberapa kawasan ‘Zon Merah’.

Usaha terakhir beberapa kakitangan keselamatan wanita KLIA2 adalah meminta pertolongan kami untuk menegur dan menahan penumpang berkaitan daripada meninggalkan dewan itu atas faktor tingginya risiko terdedahnya Covid-19 jika pergaulan terbuka bersama penumpang ‘Zon Merah’ begitu dilakukan.

Kakitangan keselamatan terbabit juga berkali-kali mengadu bahawa mereka sebenarnya sudah tidak lagi mampu melaksanakan arahan tanpa bantuan daripada pihak polis atau tentera yang lebih berkuasa dan berpengalaman.

Kami juga mendapati usaha menasihati rakan penumpang lain untuk kekal dalam dewan tersebut tidak sepenuhnya berjaya. Hampir 30% penumpang bertindak meninggalkan dewan selepas beberapa jam ditinggalkan tanpa sebarang taklimat tersebut. Akhirnya kakitangan keselamatan berada lokasi itu hanya boleh memerhatikan sahaja perlanggaran itu terus dilakukan oleh puluhan penumpang terbabit.

Prosedur kesihatan

Pada jam 3 pagi sebaik dipanggil untuk beratur pada jarak barisan yang hampir 300 meter panjangnya di luar dewan menunggu tersebut, sebahagian penumpang yang resah itu mula bertindak berebut dan berhimpit ke hadapan bagi membolehkan ‘swab-test’ itu dilakukan segera ke atas mereka. Saya bayangkan suasana itu sama seperti deruan kemasukan penonton ke dalam stadium bolasepak yang sesak sebaik kaunter dibuka, sehingga sanggup melakukan apa sahaja demi mendapatkan posisi paling hadapan!

Rata-ratanya setiap penumpang hari pertama itu terpaksa beratur dalam barisan panjang itu untuk tempoh hampir 2 jam, sebelum memasuki zon saringan mengikut nama yang dipanggil.

Sekali lagi kami kakitangan keselamatan wanita KLIA2 yang kelihatan amat penat pada masa itu menyatakan mereka sudah tidak lagi mampu mengawal kebanjiran sebegitu ramai penumpang yang tidak mengikut arahan pada masa tersebut. Apa yang jelas menurut mereka risiko pernularan pasti meningkat tatkala berlakunya percampuran penumpang penerbangan Kota Kinabalu ke dalam barisan penumpang ‘Zon Merah’ khasnya Tawau dan sekitarnya tanpa mampu dibezakan lagi.

Dalam kesibukan itulah saya terserempak dengan YB Menteri Kesihatan sendiri yang sedang bergerak dari barisan hadapan ke belakang cuba membuat saringan demi memastikan penumpang daripada Tawau tidak lagi berada bersama penumpang daripada penerbangan lain.

Saya melihat isu percampuran dan kesesakan di kaunter saringan itu adalah sungguh serius sehingga seorang Menteri sendiri terpaksa turun melakukan tugasan KKM pada jam 3 pagi tersebut, tanpa pula dituruti oleh pasukan keselamatan yang lebih berkuasa atau berpengalaman!

Masa itu jugalah YB Menteri memperkenalkan kepada kami bahawa beliau bernasib baik kerana KKM pada malam itu dibantu sekumpulan penumpang yang juga sukarelawan parti politik yang baru pulang dari Sabah yang bersama beliau ketika itu. Menteri tersebut kelihatan memberikan arahan kepada sukarelawan itu untuk membantu memastikan pematuhan pemakaian penutup muka dan penjagaaan penjarakan sosial dipatuhi sepenuhnya oleh semua penumpang yang beratur, selain membekalkan air minuman atau makanan pada yang masih memerlukan.

SOP petugas kesihatan

Semasa beratur dalam perbarisan yang panjang itu, tatkala menghampiri kawasan ujian (‘swab-test zone’) fikiran saya mula memikirkan perkara yang lebih menakutkan. Saya melihat sendiri beberapa sukarelawan parti politik yang bersama YB Menteri Kesihatan sebelum itu menghantar makanan kepada kami, rupanya turut menghampiri zon kritikal ‘swab-test’ tersebut tanpa sebarang pematuhan SOP ketat pemakaian pelindung diri KKM.

Saya menyebut ‘zon kritikal’ kerana pada pemerhatian kami petugas KKM yang berada dalam ‘kawasan berpenghalang’ tersebut semuanya memakai sut lengkap pelindung diri (‘PPE’) ketika berhadapan penumpang ketika ujian dilakukan. Dan seperti pengalaman di pusat kesihatan lain, kami dapati hampir setiap saat pasti terdapatnya penumpang yang melalui ‘swab test’ itu bertindak bersin atau mengalami batuk yang kuat. Ini sebenarnya menjadikan kawasan tertutup tanpa sistem pengudaraan terbuka itu cukup berisiko untuk berlakunya penyebaran virus dengan lebih luas dan cepat. Itu menakutkan hampir kesemua penumpang yang menghampiri lokasi itu.

Saya juga berfikiran adalah tidak munasabah petugas sukarelawan parti yang juga merupakan penumpang kapal terbang yang turut berisiko dilibatkan bersama bertugas berhampiran zon kritikal itu, tanpa pematuhan SOP yang KKM tetapkan.

Tidak cukup dengan itu, lebih mengejutkan kami adalah sebaik selesai melalui kawasan saringan untuk memasuki zon ‘swab-test’ itu, kami sekali lagi disapa oleh YB Menteri Kesihatan yang bertugas sebagai ‘usherer’ atau penunjuk arah untuk penumpang memenuhi kaunter tertentu sebelum ‘swab-test’ mula dilakukan.

Ironinya selain beberapa sukarelawan parti politik yang keluar dan masuk kawasan itu, YB Menteri Kesihatan sendiri adalah satu-satunya petugas KKM yang tidak mengenakan sut pelindung diri atau penutup muka bercirikan N95 yang biasanya dipakai ketika operasi kritikal sebegitu.

Saya mula tertanya, apakah pematuhan SOP ketat KKM tersebut memang dikecualikan buat seorang Menteri, atau ianya hanya satu kebetulan yang saya tidak pernah lalui? Saya sendiri telah bertindak menyampaikan kerisauan saya itu pada seorang doktor yang bertugas dan beliau berjanji akan mengajukan terus perkara itu kepada pihak atasan untuk tindakan lanjut pada kegagalan pematuhan SOP itu.

Itulah secebis pengalaman peribadi saya dan ramai lagi penumpang Air Asia pada petang, malam dan pagi tersebut.

Sebaik selesai ujian saringan itu saya sempat berjumpa dan ber‘swa-hoto’ (dengan izin) bersama YB Menteri Kesihatan tersebut. Saya memperkenalkan diri bahawa saya adalah salah seorang penumpang yang berhubung terus dengan beliau memaklumkan situasi kritikal di KLIA2 pada malam itu.

Sebenarnya hampir semua kerisauan yang saya utarakan dalam tulisan ini telah pun kami sampaikan secara langsung kepada Menteri tersebut sebaik mengetahui keadaan kritikal di KLIA2 yang kami lalui pada malam itu. Beliau sendiri mengucapkan terima kasih atas makluman yang disampaikan, dan menyatakan beliau telah memberikan arahan serta-merta pada JKM Selangor untuk menghantar bantuan tambahan sebaik sahaja mengetahui isu yang berlaku itu.

Sebelum pulang kami juga sempat bersemuka terus dan menyampaikan ‘concerns’ kami tidak lain kepada Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia yang turut memantau perjalanan aktiviti pagi tersebut. Beliau juga mengesahkan bahawa KKM sebenarnya masih belum sempat membuat persediaan penuh bagi pematuhan SOP terbaru tersebut, namun memberi jaminan segala perhatian yang diutarakan itu akan ditangani serta-merta. Saya meninggalkan KLIA2 sekitar jam 5:30 pagi setelah dibekalkan sebungkus makanan dan air oleh petugas KLIA2.

Jauh di sudut hati saya berkata, apakah kecemerlangan KKM yang dibanggakan dunia sejak setahun lalu dalam menangani Covid-19 akan musnah sekelip mata sahaja hanyalah dengan ketidak-sediaan beberapa pihak dalam melaksanakan apa jua keputusan yang dibuat secara mengejut seperti itu.

Keduanya saya juga berfikir, apakah sebegitu terdesaknya KKM sehingga seorang YB Menteri Kesihatan yang terlibat dalam penggubalan polisi perlu untuk menjadi petugas yang membuat saringan penumpang, dan seterusnya bertindak sebagai penunjuk kaunter atau ‘usherer’ bagi penumpang berjumpa dengan kakitangan KKM bagi ‘swab-test’ dilakukan.

Bahkan pula ianya dilakukan tanpa pematuhan SOP ketat KKM pada jam 3 pagi sedemikian? Juga, apakah MKN atau KKM benar-benar sudah tidak mempunyai kakitangan yang terlatih dan mencukupi, sehingga memerlukan sukarelawan parti politik membantu dengan penuh risiko.

Atau kesemua itu berpunca daripada kelemahan perancangan di pihak KKM atau MKN itu sendiri?

Pertentangan arahan KKM

Selain daripada 4 perkara di atas yang telah saya dan penumpang lain utarakan kepda YB Menteri Kesihatan pada malam tersebut, terdapat satu lagi perkara tambahan yang sangat penting dan diperkatakan sekarang ini.

Ia adalah berkaitan pengertian sebenar SOP terbaru KKM ini. Berdasarkan Perkara 3(iii) Surat Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia bertarikh 25 September 2020 dan kenyataan media YB Menteri Pertahanan pada 27 September 2020, adalah jelas pelepasan pada perintah kuarantin di rumah (HSO) tersebut dilakukan sebaik sahaja keputusan negatif Covid-19 diterima.

Namun, kakitangan perubatan yang memberikan taklimat kepada penumpang sebaik selepas saringan ‘swab-test’ dilakukan pada hari tersebut mengatakan prosedur HSO penuh selama 14 hari masih dikekalkan kerana tiada arahan terbaru diterima oleh mereka sehingga pagi tersebut.

Perkara ini perlu dimuktamadkan oleh MKN, KKM dan pihak berkaitan demi memastikan bahawa kepatuhan pada SOP terbaru itu dilaksanakan sepenuhnya tanpa kegagalan.

Jauh di sudut hati, saya mengajak semua rakyat untuk turut berusaha sepenuhnya dan berdoa agar Malaysia dijauhkan daripada apa jua kebarangkalian timbulnya kluster baru Covid-19 termasuklah kemungkinan kluster KLIA2 bertarikh 27 dan 28 September lalu.

 

*AHMAD SAYUTI BIN BASHIRON ialah penumpang Air Asia.