Pengamal media gesa Pandikar kaji larangan berkumpul di lobi parlimen

Pengamal media gesa Pandikar kaji larangan berkumpul di lobi parlimen

Pengamal media membantah ketetapan Spekaer Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia yang melarang mereka daripada berkumpul di lobi Parlimen berkuat kuasa semalam.

Gerakan Media Merdeka (Geramm) dalam kenyataan bersama dengan dua lagi kumpulan menegaskan keputusan itu dibimbangi menyekat keupayaan wartawan untuk menyediakan laporan berkaitan kepentingan negara.

Menurut mereka, larangan tersebut juga akan menghakis kebebasan media di Malaysia yang sudah sedia dilihat menurun pada masa ini.

“Ramai pengamal media pelbagai platform juga telah menyuarakan ketidakpuasan hati dengan keputusan itu. Ini termasuk Kesatuan Kebangsaan Wartawan (NUJ) Malaysia.

“Tidak ada dalam undang-undang atau Peraturan Mesyuarat yang melarang wartawan mendekati ahli-ahli parlimen,” kata kenyataan itu semalam.

Turut disokong Institut Wartawan Malaysia (IOJM) dan Kelab Wartawan Asing Malaysia (FCCM), arahan Pandikar itu menjejaskan kelancaran petugas media untuk menyediakan laporan tepat memandangkan jarak pusat media yang jauh dari lobi Parlimen.

Untuk rekod, puluhan petugas media dari pelbagai agensi terpaksa berkumpul di lobi Parlimen berdekatan pintu masuk ke Dewan Rakyat pada satu-satu masa ekoran lokasi pusat media yang berada di tingkat bawah bahagian belakang bangunan Parlimen.

“Kami menggesa Speaker untuk mengkaji semula arahan itu dan bagi penggubal undang-undang untuk mereka mengambil perhatian serius memandangkan hal ini akan memberi kesan negatif kebebasan akhbar, kebebasan bersuara dan demokrasi di negara ini.

“Seluruh ahli parlimen yang dipilih secara demokratik mesti mempertahankan segala prinsip teras tersebut,” kata kenyataan itu.

Sehubungan itu, ketiga-tiga kumpulan pengamal media terbabit menyatakan kesediaan untuk bertemu Pandikar atau wakilnya bagi membincangkan penyelesaian berkaitan isu liputan di Parlimen.

Terdahulu, Pandikar dalam reaksinya terhadap pertanyaan Datuk Mahfuz Omar (Pas-Pokok Sena) berhubung ketetapan itu berkata, tidak ada mana-mana anggota parlimen di negara lain yang diterjah petugas media sejurus keluar dari dewan persidangan.

Beliau juga memberitahu keputusan tersebut ekoran rungutan daripada anggota Parlimen yang kurang selesa dengan kehadiran ramai petugas media di lokasi itu.

“Saya sendiri kurang selesa kerana saya rasa ada media merata-rata seolah-olah ruang di luar sana (lobi Parlimen) adalah tempat berkelah,” katanya.

TAGS