Pengamal media kerajaan, pembangkang perlu lapor berita secara objektif

Pengamal media kerajaan, pembangkang perlu lapor berita secara objektif

Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof mahu pengamal media di negara ini melaporkan berita berasaskan fakta supaya rakyat menerima laporan yang sahih.

Beliau berkata, tidak kira sama ada pengamal media itu terdiri daripada penyokong kerajaan atau pun pembangkang, mereka perlu melaporkan sesuatu berita itu secara objektif.

“Jika pengamal media tidak melaporkan berita secara objektif, kita tidak dapat maju ke hadapan dengan lebih matang. Kita tidak mahu berita palsu diterbit dan dikeluarkan dari semasa ke semasa.

“Kadang-kala pihak media memutar belitkan (twist) video dan berita. Kita mahukan orang yang lebih bertanggungjawab dalam menyampaikan berita sebenar.

“Menyampaikan berita berdasarkan matlamat atau fakta adalah sistem demokrasi yang terbaik. Pada zaman sekarang, saya juga melihat komunikasi politik amat penting kerana masyarakat akan terkeliru jika sesuatu perkara itu sentiasa dipolitikkan,” katanya ketika ditemui pemberita di bangunan Parlimen hari ini.

Terdahulu, Mohamad Ariff merasmikan Bengkel Media dan Politik dalam Malaysia Baharu yang bersifat ‘cross-party’ melibatkan semua parti-parti politik yang diwakili dalam Parlimen Malaysia.

Mohamad Ariff bersama pegawai kerajaan, pegawai kepada Ahli Dewan Rakyat dan pegawai kepada Ahli Dewan Negara serta media di Bengkel Media dan Politik dalam Malaysia Baharu hari ini.

Tujuan program itu diadakan antaranya adalah untuk menilai kembali komunikasi politik Malaysia dan media pasca PRU-14, membincangkan komunikasi dan peranan media di era Malaysia Baharu serta membincangkan cara menyampaikan komunikasi politik yang berkesan menggunakan teknologi media.

Fokus penyertaan program tersebut adalah kepada pegawai-pegawai kerajaan, pegawai kepada Ahli Dewan Rakyat dan pegawai kepada Ahli Dewan Negara yang memainkan peranan penting dalam membantu kerajaan dan wakil-wakil rakyat tampil di hadapan media melalui kenyataan bertulis dan lisan.

Turut hadir dalam program tersebut adalah Tokoh Wartawan Negara 2018, Tan Sri Johan Jaaffar dan Suhaimi Sulaiman.

Memetik ucapan aluan Mohamad Ariff, beliau menyifatkan, pengamal media mempunyai sikap tersendiri dalam memilih sesuatu isu dan ia merupakan naluri azali wartawan yang sukar untuk diubah.

“Pokoknya, mesej yang hendak disampaikan kepada mereka (media) itu jelas dan ianya sampai kepada rakyat, bukannya penyampaian yang lemah dan mudah diputar oleh media.

“Penyampaian yang lemah mestilah diatasi dengan membaiki kemahiran terutamanya di hadapan pengamal media,” katanya.