Malaysia Dateline

Pengamal media, pegawai masjid juga kehadapan semasa PKP

Adalah wajar bagi kerajaan PN kini tidak melupakan khidmat dan sumbangan berterusan pengamal media dan juga pegawai masjid yang telah diarahkan bertugas sehingga ke hari ini walaupun golongan yang lain diarahkan supaya tinggal di rumah dalam suasana penularan wabak Covid 19 tatkala ini.

Demikian disarankan oleh Pengerusi Pertubuhan Pembela Insan, Noor Hasni Saad ketika ditemui.

Jelasnya acapkali hanya anggota keselamatan dan perubatan sahaja yang dianggap sebagai ‘frontliner’ yang harus diberi penghargaan sedangkan pengamal media seperti wartawan, jurukamera dan mereka yang terlibat tidak pernah berundur dan masih lagi memberi liputan dan sama-sama bertungkus lumus mendapatkan maklumat dan fakta dengan pelbagai kerenah, ugutan, kecaman dan tribulasi pelbagai pihak.

“Pengamal media juga saban hari turun padang bukan sahaja memberi liputan mengenai sekatan jalan raya semasa Perintah Kawalan Pergerakan tetapi juga mengenai pesakit dan perkara berkaitan dengan Covid 19.

Tugas mereka bukan mengenal masa dan suasana tetapi juga keselamtan mereka sendiri terancam namun tiada mana-mana pihak menyedari sumbangan yang mereka berikan.

“Manakala tiga pegawai masjid yang telah diarahkan iaitu imam, bilal dan siak meneruskan tugas lima kali sehari walaupun ketika Covid 19 sedang mengacam sepatutnya juga menerima ganjaran dan insentif khas dari kerajaan,” tambah beliau.

Noor Hasni yang juga merupakan aktivis masyarakat turut menyatakan kerajaan perlu segera menyedari hakikat pengorbanan pengamal media siang dan malam serta pegawai masjid dari subuh hingga isya yang tidak harus dinafikan oleh mana-mana pihak.