Pengamal media perlu laksana tanggungjawab dengan integriti, kata MB Johor

Oleh MALAYSIADATELINE

Datuk Osman Sapian (tengah) bergambar bersama pengamal media Johor pada Majlis Hi-Tea Bersama Media di Dewan Bankuet, Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, hari ini- Foto Bernama.

Menteri Besar Datuk Osman Sapian berharap pengamal media di negeri ini melaksanakan tanggungjawab dengan penuh amanah dan integriti.

Osman berkata media bukan sahaja berperanan sebagai penyebar maklumat tepat malah memikul amanah penting dalam menyuburkan perasaan keamanan kepada masyarakat apatah lagi dalam ledakan media baharu yang menuntut setiap individu sentiasa meneliti bahan atau sumber berita.

“Saya yakin pengamal media di negeri ini telah memberikan kerjasama dan akan terus lakukan yang terbaik, berintegriti serta bertindak sebagai ‘check and balance’ supaya kita dapat lihat kesinambungan Bangsa Johor yang aman dan makmur,” katanya berucap pada majlis jamuan teh sempena Aidilfitri bersama lebih 100 pengamal media Johor hari ini lapor Bernama.

Dalam pada itu, Osman berkata kerajaan negeri di bawah Pakatan Harapan bersetuju untuk meneruskan pemberian geran tahunan berjumlah RM50,000 kepada Kelab Media Johor (KMJ) seperti dilakukan kerajaan negeri terdahulu.

Beliau turut menerima ‘lamaran’ Presiden KMJ Mohamad Fauzi Ishak sebagai penaung baharu kelab itu.

Sementara itu, Mohamad Fauzi dalam ucapannya menyifatkan penganjuran majlis berkenaan sebagai penghargaan dari pihak kerajaan negeri kepada warga media.

“Ini merupakan platform terbaik warga media merapatkan lagi ukhwah dengan kerajaan negeri yang baharu dalam usaha memastikan hubungan antara pengamal media dengan barisan pemimpin kerajaan negeri kekal positif,” katanya.