Malaysia Dateline

Pengamal media termasuk jurubahasa isyarat juga barisan hadapan Covid-19

Kementerian Kesihatan Malaysia (KMM) hari ini menghargai peranan pihak pengamal media termasuk jurubahasa isyarat sebagai barisan hadapan dalam memberikan maklumat sahih berkaitan Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata pelbagai platform media massa, media sosial dan media baharu telah digunakan bagi memastikan orang ramai sentiasa
dimaklumkan tentang maklumat yang tepat, cepat dan sahih mengenai pandemik tersebut.

“Ini termasuklah tugasan yang dijalankan oleh wartawan, jurugambar, juru kamera di lapangan, dan pelbagai petugas di studio misalnya penyunting, juru berita, petugas media sosial dan sebagainya.

“Malahan, jurubahasa isyarat juga memainkan peranan yang sangat penting untuk menyampaikan
maklumat kepada mereka yang berkomunikasi melalui bahasa isyarat,” katanya dalam sidang media harian Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Dalam masa sama, beliau turut memuji pengguna media baharu dan media sosial yang melapor dan menyebar luas maklumat dalam keadaan yang dipanggil sebagai “citizen journalism”.

“Ramai yang telah menjalankan tanggungjawab sosial mereka dengan memuatnaik dan menyebar luas maklumat yang tepat dan sahih mengenai Covid-19, Perintah Kawalan Pergerakan dan pelbagai maklumat berkaitan yang disalurkan oleh kerajaan,” ujarnya.

Walau bagaimanapun, beliau berkata, terdapat segelintir warganet yang tidak bertanggungjawab dan menyebar maklumat palsu, fitnah dan lebih serius menghasut orang ramai untuk tidak
akur kepada peraturan dan nasihat yang diberikan.