Malaysia Dateline

Pengamal perubatan gesa kerajaan tangguhkan kelonggaran, vaksinasi masih rendah

Persatuan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (MSOSH) menggesa kerajaan menangguhkan kelonggaran Prosedur Operasi Standard (SOP) dalam Fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) untuk individu yang telah menerima vaksinasi lengkap.

Presidennya, Dr Shawaludin Husin berkata, beberapa kelonggaran seperti yang diumumkan kerajaan semalam adalah tidak wajar ketika sektor kesihatan dalam keadaan tenat.

Menurutnya, walaupun kelonggaran tersebut dilaksanakan di negeri-negeri Fasa 2 PPN yang dikatakan kadar atau nilai ambang jangkitan di kawasan tersebut sudah sedikit terkawal tetapi kadar vaksinasi di negeri-negeri terbabit masih di bawah 50 peratus.

Tegasnya, tidak wujud keperluan mendesak untuk melonggarkan SOP sedia ada di semua negeri ketika keadaan fasiliti kesihatan di negara ini sudah melebihi tahap maksimum.

“Pertama, kes harian dalam negara masih tinggi di paras hampir 20,000 dengan kes kategori 4 dan 5 dengan kadar peratusan semakin meningkat sehingga 600 orang sehari. Pesakit tenat ini akan memerlukan bantuan oksigen sekurang-kurangnya 10 hingga 21 hari.

“Semalam, kita telah saksikan kadar kematian tertinggi dicatatkan sebanyak 360 kematian dengan 85 orang brought-in-dead (BID), iaitu meninggal dunia di rumah,” jelasnya dalam satu kenyataan.

Dr Shawaludin Husin

Dalam masa sama, Dr Shawaludin berkata, mutu perkhidmatan kepada pesakit-pesakit bukan Covid-19 turut terjejas kerana tumpuan yang lebih kepada kes-kes Covid-19 memandangkan trend pandemik itu yang sedang melambung.

Pengamal perubatan bertauliah dengan pengkhususan dalam bidang keselamatan dan kesihatan pekerjaan itu berkata, kelonggaran kerajaan itu jika diteruskan dibimbangi akan mengorbankan lebih banyak nyawa.

Beliau turut berpendapat kelonggaran SOP di negeri-negeri PPN Fasa 2 tidak selari dengan data dan angka kerana kes Covid-19 di negeri terbabit juga mencatatkan kenaikan bukan penurunan.

“Lebih mengerikan, kelonggaran yang diberi ini sangat berisiko untuk lonjakan kes Covid-19 seperti rentas daerah dan dine-in di kedai makan.

“Mereka yang sudah menerima vaksin masih boleh saling menjangkiti dan ini sangat berisiko buat mereka yang masih belum divaksin sepenuhnya,” katanya lagi.

Menurut data Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 sehingga semalam, negeri-negeri dalam Fasa 2 adalah Pulau Pinang, iaitu dengan 28.8 peratus dewasa sudah menerima dua dos vaksin, Perak (30.2 peratus), Pahang (26.3 peratus), Terengganu (32.4 peratus), Kelantan (25.5 peratus) dan Sabah (17.1 peratus).

Lumpuh

Mengulas lanjut, Dr Shawaludin bimbang perkhidmatan dan fasiliti kesihatan di negeri-negeri terbabit akan lumpuh seperti di Lembah Klang memandangkan rendahnya kadar vaksinasi.

“Oleh itu, ini bukan masa yang sesuai untuk menguji amalan SOP baharu dengan kelonggaran seperti ini.

“Ia akan terus meletihkan pekerja barisan hadapan yang telah pun lesu, menjejaskan kualiti penjagaan serta membahayakan nyawa petugas kesihatan,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Shawaludin juga menyeru agar pihak korporat dan badan bukan kerajaan (NGO) menggembleng tenaga menyalurkan bantuan kepada hospital-hospital kerajaan, terutama di kawasan Lembah Klang dan negeri-negeri lain yang terjejas teruk.

“Kita mohon bantuan berterusan dalam bentuk ubat-ubatan, katil, bekalan oksigen dan peralatan-peralatan sokongan seperti pelitup separuh muka N95, sarung tangan dan gaun isolasi kerana ia sememangnya tidak mencukupi,” tambahnya lagi.