Malaysia Dateline

Lim Guan Eng

Pengambalihan lebuh raya ambil masa 6 bulan ,kata Guan Eng

Usaha pengambilalihan konsesi empat lebuh raya iaitu Lebuhraya Damansara Puchong (LDP), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (SPRINT), Lebuhraya Shah Alam (Kesas) dan Terowong Smart (SMART) akan mengambil masa kira-kira enam bulan, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Beliau berkata jangkaan tempoh masa tersebut adalah bagi memenuhi keperluan pengawalseliaan, kewangan dan undang-undang.

“Pengambilalihan lebuh raya ini adalah pada harga yang adil dan berpatutan,” katanya dalam sidang media di kementeriannya hari ini bagi memaklumkan pengoperasian laman web skim mySalam.

Sabtu lepas, Pejabat Perdana Menteri memaklumkan kerajaan sudah memulakan rundingan dengan Gamuda Bhd  untuk mengambil alih konsesi empat lebuh raya yang syarikat terbabit mempunyai pegangan majoriti.

Dalam satu kenyataan, kerajaan berhasrat untuk memansuhkan mekanisme tol sedia ada selepas berjaya mengambil alih lebuh raya berkenaan.

Caj kesesakan akan diperkenalkan dimana pengguna akan dikenakan bayaran bersamaan kadar tol sedia ada pada waktu puncak selama enam jam sehari. Bagi tempoh luar waktu puncak, antara 11 malam hingga 5 pagi pula, penggunaan lebuh raya adalah percuma. Bagi penggunaan waktu biasa, diskaun 30 peratus berbanding kadar tol sedia ada akan diberikan.

Lim berkata tanpa mengambil kira kumpulan PLUS, keempat-empat lebuh raya berkenaan menguasai 48 peratus daripada jumlah pendapatan lebuh raya bertol di bandar.

Berdasarkan unjuran awal, pengguna empat lebuh raya itu akan menikmati penjimatan sehingga RM180 juta setahun dengan peralihan daripada kutipan tol kepada caj kesesakan, katanya lagi.

“Malah sebarang lebihan kutipan caj kesesakan akan disalurkan kepada pembangunan dan penyelenggaraan sistem pengangkutan awam di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata caj kesesakan adalah caj boleh ubah yang bergantung kepada masa penggunaan dan ia  akan menggalakkan pengguna lebuhraya untuk merancang perjalanan mereka pada waktu luar puncak.

“Dengan dasar baharu ini, penggunan lebuh raya pada waktu puncak juga akan menikmati pengurangan kesesakan lalu lintas berbanding situasi semasa,” katanya.

Lim berkata kutipan caj kesesakan adalah mencukupi untuk membiayai bayaran balik pinjaman kos pengambilalihan dan juga segala kos operasi serta penyelenggaraan lebuh raya tanpa memerlukan peruntukan tambahan daripada Kementerian Kewangan.- BERNAMA