
Pengambilalihan Plus: ‘Belum ada cadangan menarik’
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memaklumkan, setakat ini, pihaknya masih belum menerima sebarang cadangan menarik berhubung pengambilalihan syarikat konsesi lebuh raya terbesar di Malaysia, Plus Malaysia Berhad.
Berhubung cadangan pengambilalihan tersebut, Dr Mahathir menyifatkan, adalah lebih baik sekiranya pihak swasta terlibat dengan perniagaan.
“Kebiasaannya, pihak kerajaan tidak suka terlibat dengan perniagaan. Lebih baik kalau pihak swasta yang terlibat dengan perniagaan.
“Kita harap mereka untung dan kita dapat 24 peratus daripada keuntungan mereka, dengan tidak ada sebarang risiko dan tiada sebarang bentuk pelaburan.
“Tetapi, kadang-kadang cadangan daripada pihak swasta itu tidak menarik, tidak memberi gambaran yang baik terhadap masa depan Plus.
“Sebab itu kita sedang mengkaji banyak cadangan. Kita akan kaji. Mana-mana yang terbaik, sama ada memiliki oleh kerajaan, atau dimiliki oleh swasta, kita akan pilih,” katanya kepada pemberita pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.
Perdana Menteri mengulas demikian ketika ditanya media berhubung cadangan pengambilalihan syarikat konsesi lebuh raya terbesar di negara ini.
Memetik laporan media tempatan pada 7 Oktober lalu, Dr Mahathir berkata, kerajaan sedia mengkaji sebarang pembidaan daripada mana-mana pihak untuk membeli Plus.
Katanya, kerajaan mengambil pendekatan terbuka terhadap sebarang pembidaan dan akan membuat keputusan mengikut kesesuaian dan kehendak negara.
“Apa-apa pembidaan oleh sesiapa akan dikaji kerajaan, kalau dia (bidaan) sesuai dengan kehendak kita, kita akan layan permintaan mereka,” katanya.