Pengambilalihan Splash selesai awal Ogos, kata Menteri

Pengambilalihan Splash selesai awal Ogos, kata Menteri

Penstrukturan dan pengambilalihan Syarikat Pengeluar Air Selangor Sdn Bhd (Splash) bakal dimuktamadkan awal Ogos ini.

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr A. Xavier Jayakumar berkata, ia berikutan proses pengambilalihan itu telah menunjukkan perkembangan positif daripada kedua-dua pihak yang terlibat iaitu kerajaan Selangor dan syarikat konsesi air berkenaan.

“Baru-baru ini saya telah memanggil beberapa wakil agensi yang terlibat termasuk Menteri Besar Selangor (Amirudin Shari) untuk berbincang mengenai pengambilalihan ini.

“… hasil daripada itu, saya lihat proses memuktamadkan pengambilalihan ini telah mencapai 80 peratus dan kami jangka ia dapat dapat diselesaikan sebelum 10 Ogos ini,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri pelancaran bilik gerakan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis di sini, pada Ahad lapor Bernama.

Turut hadir Menteri Besar Selangor Amirudin Shari dan calon PRK Sungai Kandis dari PKR Mohd Zawawi Ahmad Mughni.

Ketika ditanya berhubung jumlah kos pengambilalihan itu, Xavier Jayakumar yang juga Timbalan Pengarah PRK berkenaan berkata ia akan diumumkan apabila proses tersebut dimuktamadkan.

Beliau sebelum ini memberi jaminan untuk menyelesaikan isu air di Selangor dalam tempoh 100 hari sepertimana terkandung dalam manifesto Pakatan Harapan sebelum memenangi Pilihan Umum ke-14 pada 9 Mei lepas.

Proses penstrukturan semula industri air di Selangor tertangguh sejak sekian lama susulan kegagalan kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan semasa pentadbrian Barisan Nasional (BN) mencapai kata sepakat berkaitan nilai tawaran pengambilalihan Splash dan kerajaan Selangor.

Sebelum ini, kerajaan Selangor di bawah menteri besar terdahulu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dilaporkan menolak cadangan kerajaan persekutuan untuk mengguna pakai nisbah 60:40 bagi pemerolehan ekuiti Splash.

Di bawah cadangan itu, 60 peratus pembiayaan adalah daripada kerajaan persekutuan menerusi Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) dan 40 peratus daripada kerajaan negeri Selangor.