Malaysia Dateline

Pengambilan tanah Kg Sungai Baru: Apa tindakan menteri?

Pada sidang Dewan Rakyat yang lalu, saya telah mengemukakan usul di bawah Peraturan Mesyuarat 18(1) Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat bagi membolehkan Dewan Rakyat membahaskan dan membuat ketetapan berkaitan isu pengambilan tanah Kampung Sungai Baru, Kampung Baru, Kuala Lumpur.

Usul tersebut telah dibahaskan di dalam Kamar Khas Dewan Rakyat pada 13 Disember 2021 dengan beberapa Ahli Parlimen mengambil bahagian termasuk Ahli Parlimen Lembah Pantai, Ahli Parlimen Sri Gading dan Ahli Parlimen Seputeh.

Dalam jawapannya semasa perbahasan, Yang Berhormat Menteri Wilayah Persekutuan menyatakan dengan jelas bahawa beliau akan mengadakan pertemuan di antara pemaju bersama pemilik-pemilik tanah bagi menyelesaikan sebarang kekusutan berkaitan isu pengambilan tanah tersebut.

Saya rujuk kepada muka surat 33 Penyata Rasmi Parlimen, Kamar Khas bertarikh 13/12/2021 seperti berikut:

Dato’ Seri Dr. Shahidan bin Kassim: Jadi, dengan itu saya akhiri bahawa perbincangan yang baik ini ambil kira dalam libat urus di antara Yang Berhormat Menteri dan pemaju dan juga pemilik-pemilik. Saya minta Ahli-ahli Yang Berhormat, maaflah yang itu. Yang di KL ini supaya bersama-sama dengan saya untuk menyelesaikan apa sahaja perkara termasuk Pelan Pembangunan Kuala Lumpur 2040 yang akan dibentangkan.

Malangnya sehingga hari ini, saya dihubungi oleh para pemilik tanah memaklumkan tiada sebarang pertemuan seperti yang dijanjikan oleh Menteri telah diaturkan atau diadakan.

Pemilik tanah juga memaklumkan bahawa mereka telah diberitahu oleh pihak tertentu bahawa Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Wilayah Persekutuan akan memanggil sesi perbicaraan kedua pada 19 Januari 2022 akan datang bagi tujuan memuktamadkan proses pengambilan tanah tersebut.

Bagaimana ini boleh berlaku dalam keadaan Menteri memberi akujanji akan menangguhkan segala proses pengambilan tanah dan mengadakan pertemuan di antara pemaju dan pemilik?

Pemilik tanah berada di dalam tekanan tidak tahu apa yang akan berlaku. Menteri mesti mengambil tanggungjawab menunaikan janjinya dengan memanggil segera pertemuan di antara pemaju dan pemilik bagi menyelesaikan semua isu berbangkit.

*KHALID ABD SAMAD merupakan bekas Menteri Wilayah Persekutuan dan juga Ahli Parlimen Shah Alam.