Malaysia Dateline

Prof Dr Azmi Hassan

Penganalisis dedah, ramai pengundi PH tidak keluar mengundi

Peratusan keluar mengundi yang berkurangan sehingga 13 peratus dengan sebahagian besarnya merupakan pengundi Pakatan Harapan (PH), antara faktor kekalahan parti kerajaan itu di Tanjung Piai.

penganalisis politik dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Madya Dr Azmi Hassan, berkata, peratusan tersebut merujuk kepada kehilangan sebanyak 7,000 undi penduduk yang tidak keluar mengundi berbanding semasa Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang lalu.

Justeru katanya, kemenangan Barisan Nasional (BN) di kawasan penghujung Benua Asia itu bukan disebabkan pertambahan mendadak jumlah undi yang diperolehi.

“Kemenangan besar BN bukannya terbit dari pertambahan mendadak jumlah undi yang diperolehi, kerana lebih 25,000 yang diperolehi tidak banyak beza jika dicampur undi BN dan PAS ketika PRU14.

“Kemenangan besar BN adalah kerana PH kali ini kehilangan 10,000 undi berbanding PRU14.

“Jumlah yang mengundi berkurangan sebanyak 13 peratus, bersamaan 7,000 undi berbanding PRU14.

“Malah, calon Gerakan (Wendy Subramaniam) yang memperolehi 1, 707 undi adalah punca utama kehilangan undi oleh PH,” katanya kepada Malaysia Dateline.

Maka dengan itu katanya, penduduk yang tidak keluar mengundi boleh dikatakan sebagai terjemahan mereka melakukan protes atau cubaan sabotaj terhadap calon PH.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan bahawa pergeseran antara DAP dan Bersatu serta percakaran dalaman PKR menyumbang kepada asbab mengapa begitu ramai tidak keluar mengundi.

Untuk rekod, peratusan pemilih yang keluar mengundi di PDM majoriti Cina lebih rendah berbanding jumlah keseluruhan iaitu 74.5 peratus.

Keadaan itu membayangkan ramai daripada pengundi tidak membuang undi, atau pengundi luar tidak pulang untuk mengundi.