Malaysia Dateline

Penganggur akhirnya ke tali gantung selepas bunuh, rogol dan liwat warga emas

Seorang penganggur berusia 30 tahun akhirnya dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini keranaa membunuh wanita warga emas berusia 85 tahun selepas merogol dan meliwatnya.

Menurut Hakim Datuk Ab Karim Ab Rahman, hukuman yang dijatuhkan ke atas K Satiaraj itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal membuktikan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Jelasnya, tertuduh mempunyai niat mendatangkan kecederaan terhadap si mati dan melakukan perbuatan itu dalam keadaan sedar.

Dalam penghakimannya, Ab Karim berkata, tertuduh mengikut keterangan tidak mengalami kesukaran dalam mengingati dan menceritakan apa yang berlaku.

“Tertuduh masuk ke rumah si mati untuk mencuri selain tertuduh mengetahui perbuatan menutup mulut dan mengikat tangan si mati supaya wanita itu tidak boleh menjerit.

“Tertuduh juga mengetahui tujuan dia mengikat tangan si mati supaya tidak dapat membuka kain yang disumbat di mulut si mati,” ujarnya dipetik Bernama.

Beliau menambah, tertuduh sebelum ini turut mengaku bersalah atas pertuduhan merogol dan meliwat si mati.

Ab Karim berkata, perbuatan tertuduh menyelongkar almari bagi mencari sesuatu untuk dicuri dan kemudian mencuri rantai emas selepas merogol dan meliwat si mati, jelas menunjukkan tertuduh dalam keadaan sedar.

“Sebaik keluar dari rumah si mati, tertuduh secara sedar meminta bantuan daripada rakannya (N Hari Krishnan, saksi pendakwaan kelapan (SP8) untuk menggadaikan rantai itu kerana tertuduh tidak mempunyai kad pengenalan,” ujarnya.

Dalam masa sama, Ab Karim berkata, tidak ada dalam keterangan SP8 yang menunjukkan tertuduh dalam keadaan mabuk.

“Tertuduh juga tidak mempunyai apa-apa bukti yang menunjukkan ketika kejadian dia dalam keadaan mabuk, semua menunjukkan perbuatan tertuduh dalam keadaan normal,” katanya.

Sathiaraj didakwa membunuh warga emas itu di sebuah rumah di Kampung Tasik Tambahan, Ampang antara jam 11.40 pagi hingga 1 tengah hari, 19 September 2019 mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Sebelum ini, tertuduh yang mengaku bersalah atas pertuduhan merogol dan meliwat warga emas itu dihukum penjara 13 tahun dengan lima sebatan.

Terdahulu, media melaporkan, seorang wanita warga emas ditemukan mati dengan kedua-dua tangannya diikat.

Mangsa dijumpai dalam keadaan tertiarap oleh anak keduanya yang pulang daripada bekerja.

Baca juga Guru ini dedah murid Darjah Satu dah ‘advance’, tapi rupanya ada umur 4 tahun pun dah ketagih video lucah

Baca juga Hangat bercinta kongsi gambar lucah, video bogel: Malu besar sampai berhenti universiti akibat dendam bekas teman wanita