Pengangguran di kalangan belia negara membimbangkan

Pengangguran di kalangan belia negara membimbangkan

Dakwaan Perdana Menteri bahawa 1.8 juta pekerjaan telah dicipta sejak 2010 hingga 2016 nyata tersasar apabila laporan Bank Negara Malaysia (BNM) mendedahkan kadar pengangguran di kalangan belia di negara ini mencecah 10.7% pada 2015, iaitu tiga kali lebih tinggi berbanding kadar pengangguran negara iaitu 3.1%.

Dr Dzulkefly Ahmad

Pengarah Strategi Amanah Dr Dzulkefly Ahmad berkata, laporan BNM juga mendedahkan 61% daripada keseluruhan jumlah pekerja menganggur ialah belia, walaupun golongan itu hanya membentuk satu pertiga tenaga kerja.

“Lebih menekan lagi, belia dengan pendidikan tinggi ialah kalangan tertinggi yang tidak bekerja iaitu 15.3%,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau yakin pekerjaan yang dijana di negara ini lebih banyak diwujudkan untuk warga asing sama ada yang sah taraf atau tidak.

Ini, katanya termasuk pekerjaan bagi gaji berupah rendah dalam kegiatan sektor yang juga bernilai-tambah rendah.

Apa yang lebih merisaukan, tambah beliau, dari 2.57 juta pekerja dalam pasaran buruh berumur antara 15 hingga 24 tahun, hanya 16% atau 405,000 sahaja yang mempunyai pendidikan tinggi (tertiari).

Malah dari 273,841 belia yang menganggur, 23% atau 62,000 mempunyai pendidikan tinggi yang tidak semestinya mempunyai ketrampilan yang dimahukan industri.

Beliau turut menyentuh kegagalan negara mendapatkan pelaburan yang menjurus kepada penjanaan kerja yang mempunyai nilai-tambah yang tinggi dan gaji yang tinggi.

“Laporan ‘Graduate Tracer Study 2015’ mendapati gaji graduan ijazah pertama di Malaysia hampir ‘membeku’ atau ‘stagnate’ dan meningkat sekadar 2.91% sejak 2007 dengan kenaikan dari RM1,734 ke RM2,182 dalam tahun 2015.

“Sejumlah 54% graduan mendapat gaji kurang dari RM2,000 sebulan sekaligus menjadikan sukar untuk memiliki atau membeli rumah dengan tidak ambil kira pelbagai hutang termasuk PTPTN, kereta dan sebagainya,” jelas beliau.

TAGS