Malaysia Dateline

Pengangguran meningkat dedah kelemahan kerajaan PN

Masalah pengangguran yang meningkat dengan rekod oleh Jabatan Perangkaan bagi akhir tahun 2020 iaitu hampir 730,000 atau 4.5 peratus amat membimbangkan kerana ia akan memberikan kesan kepada kehidupan rakyat.

Pembuangan kerja yang meningkat akibat penutupan perniagaan dan industri akan menyebabkan terputusnya pendapatan yang akhirnya boleh menjejaskan prestasi pelajaran anak-anak.

Ini belum diambil kira kos pengajian atas talian yang melibatkan kos tambahan termasuk peranti dan kemudahan internet yang akhirnya menyebabkan lebih ramai yang tercicir dalam pendidikan.

Dengan isu pemberian 150,000 laptop di bawah program Cerdik masih belum dilaksanakan, lebih teruk ia ditukar kepada bentuk pinjaman serupa buku teks, pendidikan menjadi isu kritikal rakyat kini.

Ini semua menunjukkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) telah gagal menguruskan ekonomi negara dengan baik.

Pandemik Covid-19 bukan alasan ekonomi lembap kerana ekonomi negara yang terjejas hari ini disebabkan kerajaan PN tiada idea dan tekad politik untuk melaksanakan polisi ekonomi yang mampu merangsang peluang pekerjaan dan perniagaan.

Jumlah pelaburan langsung asing (FDI) pada tahun 2020 yang menjunam 68 peratus kepada USD 2.5 bilion yang melembapkan iklim ekonomi rakyat adalah berpunca daripada kehilangan keyakinan pelabur terhadap kestabilan politik pentadbiran PN.

Hal ini yang menyebabkan banyak perniagaan terutama sektor perkhidmatan ditutup yang seterusnya meningkatkan pengangguran. Ini berpunca daripada PN yang banyak memberikan fokus kepada agenda politik, darurat yang tidak sewajarnya dipohon Tan Sri Muhyiddin menambah garam ke luka ini.

Subsidi gaji dilaksana kerajaan PN terlalu rendah berbanding negara lain hingga gagal membendung masalah pembuangan kerja.

PN dilihat gagal menyediakan jalan keluar atau ‘exit strategy’ dalam menangani isu kritikal ini. Subsidi gaji yang diperkenalkan menerusi pakej rangsangan ekonomi hanyalah sekitar 17 peratus jumlah gaji yang dibayar oleh sektor swasta Malaysia.

Ini pastinya tidak mencukupi dan tidak mampu mencegah pembuangan kerja. Jika dibandingkan dengan negara lain, Malaysia jauh ke belakang.

UK memberi subsidi gaji sebanyak 80 peratus, manakala Singapura, Perancis dan Kanada memberi subsidi gaji sehingga 75 peratus daripada gaji pekerja. Insentif RM600 untuk pekerja yang diumumkan dalam pakej rangsangan ekonomi ternyata gagal membendung masalah ini.

Kajian Jabatan Perangkaan menunjukkan hampir 48 peratus responden (perniagaan yang dikajiselidik) merasakan pakej rangsangan ekonomi kerajaan gagal mengurangkan beban perniagaan.

Sebanyak 83.1 peratus perniagaan telah mengatakan mereka masih perlukan bantuan kewangan atau subsidi daripada kerajaan, walaupun selepas pakej rangsangan ekonomi telah diumumkan.

Ini menunjukkan langkah kerajaan tidak mencukupi sama sekali. Apabila perniagaan tidak dibantu secara mencukupi untuk kekal beroperasi, maka sudah tentunya lebih ramai dipecat.

Dana khas

Malahan, kerajaan PN juga tidak menyediakan polisi bagi membantu golongan yang diberhentikan kerja seperti dana khas perniagaan kecil bagi menjana pendapatan mereka.

Kegagalan kerajaan PN memberikan perhatian serius kepada industri Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) akan mengancam kehidupan rakyat.

Walaupun sukar untuk memastikan semua perniagaan mengekalkan pekerja mereka, namun apa yang lebih membimbangkan, kekosongan ini dijangka diisi oleh warga asing dan ini bakal menambah masalah sosio ekonomi yang lebih kronik dalam negara.

Jelas, pakej rangsangan ekonomi PN walaupun diumumkan bernilai RM260 bilion tidak dibentuk dengan tepat, di mana ia gagal mengelakkan pengangguran melonjak tinggi. Begitu juga Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) berjumlah RM35 bilion juga gagal.

Justeru, Kabinet PN dilihat tidak berfungsi dan oleh itu berhentilah terperap di dalam gua. Ketidakkompeten bekerja dan ketidakseriusan menjaga kebajikan rakyat harus dihukum rakyat. Ini bukannya masa mengutamakan agenda sentimen, tetapi agenda kelangsungan hidup.

 

*FAIZ FADZIL merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir, Pulau Pinang dan Ahli Jawatankuasa Pimpinan AMANAH Nasional.