Malaysia Dateline

Pengangguran terburuk sejak 27 tahun: PN usah sebut tiada duit bantu rakyat

Pengangguran tertinggi pada kadar 4.5 peratus setakat Disember 2020 bukannya rekaan pembangkang, tegas Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Shazni Munir Mohd Ithnin.

Katanya, pendedahan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) bahawa negara mengalami kadar pengangguran paling buruk sejak 27 tahun lalu, jelas bukti yang memperlihatkan keperitan hidup rakyat pada masa ini.

Oleh itu, beliau berpendapat inisiatif Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) yang diumumkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dalam Belanjawan 2021 lalu masih tiada impak yang signifikan.

“Jangankan peluang pekerjaan baharu bagi mereka yang hilang pekerjaan, pekerja yang dibuang tanpa sokongan kewangan yang cukup serta peniaga kecil yang kais pagi makan pagi telah amat susah untuk meneruskan hidup sepanjang PKP 2.0 ini berlangsung.

“Kerajaan tidak boleh lembab dan lembam. Rakyat perlukan moratorium segera. Bantuan tunai perlu diberi kepada semua pihak yang terjejas sepanjang PKP berlangsung,” tegasnya ketika dihubungi Malaysia Dateline sebentar tadi.

Shazni berpendapat kerajaan PN tidak harus menggunakan alasan tiada wang mencukupi untuk membantu ekonomi rakyat daripada teruk terjejas akibat PKP yang entah sampai bila akan dilanjutkan.

“Jangan sebut tiada duit. Kalau kerajaan boleh merancang untuk adakan pilihan raya umum beberapa bulan lagi, bermakna kerajaan masih ada duit.

“Perdana Menteri ‘perutusan’ usah bergentayangan di kayangan lagi. Turun ke bawah, tengok bagaimana keadaan sebenar rakyat.

“Susur ke lorong-lorong kotaraya dan petempatan kos rendah, tengok betapa rakyat hampir putus nyawa untuk teruskan hidup.

“Jangan sampai nanti, ketika live perutusan pun orang sumpah yang bukan-bukan,” kata Shazni lagi.

Terdahulu, Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin dalam kenyataan hari ini berkata, krisis kesihatan memberi kesan besar kepada tenaga buruh.

Hal tersebut, jelasnya, menyebabkan kadar pengangguran mencecah lebih 4.0 peratus berbanding kadar purata 3.0 peratus yang direkodkan dalam tempoh pra-krisis.