Malaysia Dateline

Penganjur himpunan berkaitan Zakir Naik digesa hentikan rancangan

Penganjur himpunan ‘Say No to Zakir Naik’ dan beberapa perhimpunan lain yang sedang dirancang yang berkaitan penceramah bebas dari India itu, digesa supaya menghentikan rancangan mereka, memandangkan keadaan sudah reda.

Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata oleh kerana penceramah itu telah dilarang daripada berceramah di seluruh negara, maka sebarang usaha meneruskan perhimpunan atau bantahan terhadap penceramah itu hanya akan meningkat dan memanaskan suhu politik negara, sekali gus mengundang pelbagai reaksi.

“Saya juga menasihatkan orang ramai agar tidak terpengaruh untuk menyertai perhimpunan ini bagi memastikan keselesaan dan kesejahteraan penduduk setempat sentiasa terpelihara,” ketika ditemui selepas menyantuni tiga kediaman penduduk yang dilaporkan uzur di kawasan Teluk Kemang di sini, hari ini.

Terdahulu, Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson menyambut ketibaan 81 orang peserta Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) di Dataran Teluk Kemang, di sini.

Konvoi itu menjelajah enam kawasan di daerah ini, bermula dari pukul 9.00 pagi di Dataran Tanjung Agas, Linggi, dengan pelancarannya disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Perpaduan, Penerangan Dan Integrasi Nasional Negeri Sembilan Choo Ken Hwa.

Konvoi berkenaan kemudian bergerak ke Kolej Komuniti Port Dickson, Sekolah Menengah Kebangsaan Pasir Panjang, Kampung Orang Asli Bukit Tembok, Masjid Khariah Teluk Kemang dan berakhir di Dataran Teluk Kemang pada pukul 2.30 petang.