Malaysia Dateline

Penganjur LTdL pastikan perlumbaan lancar biarpun hadapi cabaran logistik

Menyedari cabaran hebat bakal dihadapi untuk membawa perlumbaan berbasikal berprestij,  Petronas Le Tour de Langkawi 2020 (LTdL) ke Sabah dan Sarawak, penganjurnya, Human Voyage Sdn Bhd telah meningkatkan usaha bagi memastikan perlumbaan berjalan lancar.

LTdL pernah sekali dianjurkan di dua negeri yang terletak di Pulau Borneo itu  pada edisi kedua dalam 1997 dan penganjurannya berhadapan dengan masalah logistik.

Bagaimanapun, edisi jubli perak LTdL bersedia membawa kembali Kejohanan Siri Pro Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) itu ke dua negeri  itu selepas 23 tahun berlalu,  dengan majlis memperkenalkan pasukan pada 5 Feb depan dan perlumbaan khas Criterium Antarabangsa pada 6 Feb bersempena Ulang Tahun ke-25 LTdL yang diadakan di Kota Kinabalu, diikuti dengan peringkat pertama dengan jarak pusingan 96.2 km di Kuching, keesokan harinya.

Ketua Pegawai Eksekutif Human Voyage, Datuk Ahmad Mustafa mengakui pihak penganjur menghadapi cabaran besar logistik tetapi menjamin pasukan petugasnya cukup bersedia dan komited untuk mengatasi sebarang cabaran dengan kerjasama semua pihak berkaitan untuk menganjurkan perlumbaan lapan peringkat itu tanpa sebarang kesilapan besar.

“Kami telah menggariskan persiapan rapi kami sehingga ke butir perincian terkecil terutama dalam mengendalikan pasukan, logistik dan pengangkutan.  Selain daripada membawa rombongan pasukan sendiri yang berpengalaman luas dan kakitangan daripada ibu pejabat, kami akan bekerjasama rapat dengan orang tempatan dan pakar-pakar serta agensi berkaitan di kedua-dua negeri.

“Kami amat berterima kasih kepada Sabah dan Sarawak kerana memberikan kerjasama yang baik dan kami bersedia untuk sebarang kemungkinan.  Kedua-dua Sabah dan Sarawak akan mendapat banyak manfaat dengan penganjuran perlumbaan ini berikutan kehadiran banyak pasukan asing, pelumba dan pegawai serta wartawan antarabangsa dari seluruh dunia,” katanya dalam satu kenyataan.

“Ini bukan sahaja baik untuk mempromosi sukan dan berbasikal di negeri itu tetapi membantu mengetengahkan keunikan budaya dan daya tarikan yang ditawarkan oleh kedua-dua negeri,” katanya.

Selepas peringkat pertama di Kuching, perlumbaan akan beralih ke Semenanjung Malaysia dari Kuala Terengganu ke Kerteh ((175.5km), Temerloh-Kuala Lumpur (162.5km), Putrajaya-Genting Highlands (124.7km), Kuala Kubu Bharu-Bandar Meru Jaya (165.8km), Taiping-Pulau Pinang (151.3km), Bagan-Alor Setar (130.4km)  sebelum peringkat akhir dari Dataran Lang ke Kuah (108.5km).

Perlumbaan kriterium sejauh 95.2km di Kota Kinabalu menyediakan peluang besar kepada pelumba Malaysia dan ASEAN di bawah umur 23 tahun untuk bersaing dengan pelumba elit dan profesional UCI dalam suasana yang amat kompetitif  sementara Perlumbaan Klasik Malaysia, digelar sebagai “Perlumbaan Juara-Juara” pada 15 Feb di Langkawi (159 km), mengetengahkan juara-juara kebangsaan dari seluruh dunia.

Kira-kira 132 pelumba daripada 22 pasukan dijangka menyertai LTdL edisi ke-25 termasuk pasukan daripada World Tour, Pro Continental  dan Continental serta pasukan dari serata Eropah, Asia, Oceania, Afrika dan Amerika– BERNAMA