Malaysia Dateline

Takiyuddin Hassan Nothing to hide

Penganjur Nothing to Hide 2.0 sepatutnya ‘cermat’, kata Pas

Pas memandang serius kekecohan yang berlaku semasa program Nothing to Hide 2.0, namun dalam masa yang sama berpendapat penganjur sepatutnya lebih ‘cermat’ dan tidak membuka ruang kepada suasana yang boleh menimbulkan keadaan emosional dan provokasi.

Setiausaha Agung Pas Datuk Takiyuddin Hassan dalam satu kenyataan berkata kejadian seumpama itu tidak sepatutnya berlaku dan ia bukanlah menjadi suatu budaya dalam masyarakat di negara ini.

“Apapun, program tersebut sepatutnya dikawal dengan lebih cermat terutama oleh pihak penganjur supaya ia tidak membuka ruang kepada suasana yang boleh menimbulkan keadaan emosional dan provokasi.

“Peranan ini boleh dimainkan oleh pihak penganjur dengan mengawal keseluruhan keadaan, di samping ahli panel dengan mengelakkan ulasan yang mengundang reaksi negatif dan terakhir sekali peserta program itu sendiri dengan lebih bersopan serta menghormati perbezaan pandangan,” katanya.

Beliau mengulas kekecohan yang berlaku pada program Nothing to Hide 2.0 anjuran Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) di Dewan Raja Muda Musa, Seksyen 7, Shah Alam, Ahad lalu, menyebabkan ada yang tercedera dan setakat ini, tiga pemuda ditahan untuk siasatan.

Insiden itu berlaku kira-kira pukul 5.10 petang ketika Pengerusi PPBM Tun Dr Mahathir Mohamad menjawab soalan daripada peserta berhubung peristiwa Memali, apabila ada individu tertentu membaling selipar, diikuti kerusi dan botol air sebelum menyalakan suar dan membalingnya ke arah Dr Mahathir yang berada di tengah pentas.

Keadaan itu telah menimbulkan rasa panik sehingga ramai peserta forum berlari ke luar dewan untuk menyelamatkan diri. Beberapa individu lain dipercayai cedera ringan akibat terjatuh ketika menyelamatkan diri selain berlaku kejadian bertumbuk sesama sendiri.

Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata Pas menganjurkan supaya rakyat mengelakkan budaya politik perkauman, emosi, permusuhan serta membesar-besarkan sesuatu masalah yang boleh diselesaikan secara damai dan harmoni.

Selain itu, rentetan daripada isu Memali yang dibangkitkan oleh peserta program, Pas merasakan pihak yang berkaitan dengan ‘peristiwa malang’ tersebut harus mengambil pendekatan lebih bersifat ‘ehsan’ terutama terhadap keluarga serta sanak saudara mereka yang terlibat.

“Dengan pendekatan demikian, diharapkan agar perasaan dendam, prejudis, syak wasangka dan keegoan sesetengah pihak dapat dihentikan, sebaliknya kita mengorak langkah membela nasib semua pihak yang memerlukan bantuan sama ada material mahupun moral,” katanya.

Takiyuddin berkata dalam hal ini juga, Pas pernah menyarankan agar Dr Mahathir sebagai seorang negarawan dapat melawat masyarakat Memali yang terlibat dalam peristiwa berkenaan dengan harapan ia akan menghasilkan suatu natijah yang baik kepada rakyat dan negara.

Dalam peristiwa Memali yang berlaku pada 19 Nov 1985, seramai 18 orang termasuk empat anggota polis terbunuh dan ramai lagi cedera ketika polis melancarkan operasi menangkap guru agama, Ibrahim Mahmud atau lebih dikenali dengan nama Ibrahim Libya.