Penganjuran tatoo separuh bogel: Bukan sekadar siasat perlu tindakan drastik

Penganjuran tatoo separuh bogel: Bukan sekadar siasat perlu tindakan drastik

Pemuda Umno mempersoalkan kredibiliti kerajaan Pakatan Harapan dalam mengambil tindakan drastik ke atas penganjuran model tatoo separuh bogel dalam Ekspo Tatoo Malaysia 2019 baru-baru ini.

Pengerusi Sekretariat Komunikasi Pemuda Umno Mustafa Shah Abdul Hamid berkata, insiden yang berlaku itu amat mengejutkan dan lebih membimbangkan apabila penganjur berani memaparkan logo Motac seperti yang tertera pada layar belakang pentas program.

Katanya walau bagaimanapun, Menteri Pelancongan, Seni dan Kebudayaan Datuk Mohammaddin Ketapi menafikan pihaknya pernah meluluskan atau memberi kebenaran kepada penganjur untuk melangsungkan program tersebut adalah diluar jangkaan.

“Apa sudah jadi? Macam mana perkara seperti ini boleh berlaku? Bagaimana program masih boleh berlangsung, malah ‘menjual’ nama kementerian.

“Timbul persoalan mengapa pihak penganjur begitu berani menguar-uarkan mendapat sokongan kementerian? Atau adakah ada sesiapa dari kementerian sendiri yang meluluskan penganjurannya tahun ini tanpa pengetahuan menteri?,” soalnya dalam kenyataan hari ini.

Semalam Mohammadin dipetik berkata adalah mustahil kementeriannya meluluskan sebarang permohonan penganjuran ada elemen lucah seperti itu, dan di bawah agensinya MyCeB telah diarahkan menyiasat insiden tersebut.

Tambah Mustafa Shah lagi, insiden yang diluar pengetahuan kementerian sama sebegini, bukan kali pertama pernah berlaku di bawah kerajaan PH.

“Sebelum ini pameran makam dan artifak Firaun Mesir. Menteri kata tidak tahu dan menuding jadi kepada timbalannya.

“Kini Menteri juga memberitahu media bahawa beliau telah mengarahkan supaya kementeriannya segera menyiasat mengenai penganjuran Ekspo Tattoo ini.

“Harapan Pemuda Umno bukan sekadar siasat sahaja, tetapi disusuli tindakan. Ini kerana rakyat sudah bosan dengan drama siasatan di era Malaysia baru ini tetapi tiada tindakan drastik diambil,” ujarnya.

Terdahulu, MyCeB dalam kenyataan menegaskan acara berkaitan perlu mendapatkan kelulusan dari pihak berkuasa negeri dan tempatan.

MyCEB sebelum ini memberi sokongan terhadap program berkenaan selepas menyemak semua dokumen dan kelulusan daripada pihak berkuasa negeri dan kerajaan tempatan.

MyCEB memaklumkan pihaknya berhak menarik balik sebarang bentuk sokongan jika berlaku pelanggaran terma seperti yang berlaku pada program berkenaan.

“Penganjuran antarabangsa amat baik untuk industri pelancongan dan ia memberi impak positif kepada ekonomi negara. Tambahan pula, tatu adalah satu bentuk budaya yang amat signifikan kepada rakyat Sabah dan Sarawak,” kata MyCEB.

Sementara itu Polis sudah memanggil penganjur Tattoo Malaysia Expo 2019 pagi ini untuk memberi keterangan berhubung peragaan tatu separuh bogel dalam acara tersebut.