Pengantin lelaki naik pelamin seorang diri, sebak tengok baju sanding arwah isteri

Oleh WAN SITI AMINAH

Satu rakaman memaparkan seorang pengantin lelaki yang hanya duduk bersendirian di atas pelamin telah mencuri perhatian orang ramai, baru-baru ini.

Mana tidaknya, pemuda Inggeris yang lengkap berpakaian baju Melayu songket itu disandingkan dengan beberapa buah bantal disusun di kerusi pengantin perempuan.

Berdasarkan hantaran video dimuat naik di laman Tiktok, pemuda yang bersendirian di atas pelamin itu dikenali sebagai Daniel dan berasal dari negara United Kingdom.

@ewansani84

Walaupun nmpk happy dlm hati dia je yg tahu..

♬ Sound Sedih Fyp – ASBUN

Tampil bergaya dengan busana tradisional iaitu baju Melayu songket berwarna hijau, ketiadaan isterinya di atas pelamin pastinya menjadi persoalan para penonton video.

Rupa-rupanya, isteri Daniel dikenali sebagai Nur Farah Ashikin telah meninggal dunia sebelum sempat naik pelamin akibat penyakit kanser limfoma pada 7 Januari lalu.

Pasangan berkenaan difahamkan sudah sah bergelar suami isteri dalam satu majlis pernikahan di Jepun namun tidak sempat melangsungkan persandingan di Malaysia.

Menerusi rakaman yang dimuat naik oleh pemilik butik pengantin, Daniel tidak dapat menahan sebak ketika menerima baju yang belum sempat disarungkan isterinya itu.

@kutiqandaman

AlFATIHAH utuk mu dik🫂❤️💕….#farahAshikin tenanglah disana#majlis X kesampaian#cancer#kebaya hijau utk suami🥲salam tahziah utk kluarga/suamifarah

♬ Kau Pergi Jua – Adam Ahmad

“Al-Fatihah untukmu. Farah Ashikin, tenanglah di sana. Majlis tak kesampaian akibat kanser. Tinggalkan baju kebaya hijau untuk suami. Salam takziah buat keluarga dan suami Farah,” katanya.

Pemilik akaun TikTok itu turut berkongsi beberapa tangkap layar pesanan mesej di antara pihak butik pengantin dengan arwah Farah sebelum wanita itu meninggal dunia.

Sempat memberi tahu perkembangan kesihatannya yang tidak berapa baik kepada pihak butik, arwah Farah juga terpaksa menangguh janji temunya untuk beberapa kali.

Arwah bagaimanapun tidak sempat melihat busana itu kerana perlu dirawat di hospital sebelum menghembuskan nafas terakhirnya sebelum majlis berlangsung.

Tinjauan di ruangan komen mendapati, rata-rata pengguna berkongsi rasa terharu ketika melihat ketabahan Daniel yang bersanding di atas pelamin seorang diri.

Ramai juga pengguna Tiktok termasuk mereka yang langsung tidak mengenali Farah turut mendoakan agar arwah ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman.

Baca juga: Shuk Sahar dedah pengalaman pahit dilaluinya sepanjang rakyat Malaysia buat ‘cancel culture’ gara-gara isu curang