Minuman kopi Starbucks ini jika dibandingkan, sebenarnya sama ‘level’ seperti durian yang digelar raja buah.
Tidak hairanlah minuman kegemaran golongan muda ini dipanggil air kayangan kerana tidak semua mampu membelinya.
Pun begitu, bagi pasangan pengantin baru ini mereka memilih untuk membuat kelainan di hari bahagia mereka apabila menyediakan 700 gelas Starbucks bersaiz sederhana (grande) untuk kesemua tetamu yang hadir.
Pasangan pengantin ini mendapat perhatian ramai selepas salah seorang tetamu memuat naik video lori Starbucks di kenduri tersebut hingga meraih 3 juta tontonan.
Ramai yang tertanya-tanya berapa agaknya kos yang dibelanjakan oleh pengantin tersebut yang dikenali sebagai Azuana Zulkiflee.
Menurut laporan mStar, Azuana membelanjakan kira-kira RM14,000 untuk 700 gelas Starbucks dan ia merupakan ‘dream wedding’ wanita jelita itu.
“Idea jemput vendor Starbucks ini merupakan dream wedding saya selama ini.
“Lagi pula tak semua orang pernah minum air Starbucks ini. Nak order dekat kaunter pun mungkin agak mencabar bagi sesetengah orang sebab tak pandai buat pesanan.
“Sebab itulah saya pilih untuk hidangkan minuman ni untuk tetamu. Saya pun memang dah niat nak berkongsi rezeki dengan semua yang hadir,” katanya.
Difahamkan, Azuana membuat tempahan 200 gelas air Chocolate Chip dan 500 gelas Java Chip yang merupakan signature Starbucks.
Baca juga: Terkejut tengok harga, wanita jumpa Nasi Lemak paling mahal dalam dunia!