Malaysia Dateline

Penganugerahan taraf kewarganegaraan merupakan anugerah tertinggi dari kerajaan persekutuan, kata Fatimah

Penganugerahan taraf kewarganegaraan adalah anugerah tertinggi daripada kerajaan Persekutuan kepada individu yang bukan warganegara.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata penganugerahan itu juga adalah usaha kerajaan yang mahu rakyatnya mendapat pelbagai kemudahan yang disediakan di samping menjalani kehidupan yang sempurna.

“Kita tidak mahu melihat anak-anak yang lahir di Malaysia menghadapi kesukaran untuk mendapatkan pendidikan, sedangkan ibu atau bapa kandung adalah warganegara,” katanya.

Beliau yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Khas Status Kewarganegaraan berkata demikian ketika berucap pada majlis penyampaian Surat Kelulusan Kewarganegaraan di Wisma Wanita di Kuching  hari ini.

Katanya, jawatankuasa Khas Status Kewarganegaraan di bawah Perkara 15A, Perlembagaan Persekutuan yang ditubuhkan pada 2016 telah mendapat persetujuan dari Menteri Dalam Negeri (KDN), Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Jawatankuasa Khas ini berperanan menguruskan pemohonan kewarganegaraan yang diterima di negeri Sarawak khususnya pemohonan dari 2013 hingga 2016 untuk mendapatkan pertimbangan khas dari KDN.

Fatimah berkata, sehingga ke hari ini sebanyak 682 pemohonan kewarganegaraan  telah dibentang dalam mesyuarat khas antara KDN dan Jawatankuasa khas tersebut.

“Daripada 190 pemohonan yang telah dibentang pada 2016 hingga 2017, sebanyak 120 pemohonan  telah menerima surat kelulusan dari KDN manakala keputusan yang lain dimaklumkan oleh KDN melalui surat rasmi yang diposkan kepada pemohon.

“Antara sebab pemohonan ditolak adalah disebabkan kelahiran yang berlaku sebelum perkahwinan, kelahiran luar ikatan perkahwinan dan ibu bapa masih tidak berkahwin, anak angkat, melalui perintah mahkamah dan di bawah hak jagaan,” katanya.

Pada majlis tersebut, seramai 23 individu yang berusia 21 tahun ke bawah telah menerima surat kelulusan kewargangeraan Malaysia.