Penganut pelbagai agama wajar ambil peluang kehadiran Dr Zakir , kata Mufti Pulau Pinang

Penganut pelbagai agama wajar ambil peluang kehadiran Dr Zakir , kata Mufti Pulau Pinang

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Seluruh rakyat Malaysia daripada penganut pelbagai agama wajar mengambil peluang daripada kehadiran tokoh perbandingan agama ini untuk memahami ajaran-ajaran Islam dengan lebih tepat dan lebih mendalam.

Mufti Pulau Pinang Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, gesaan Hindraf sebagaimana dilaporkan media, adalah keterlaluan dan prasangka semata-mata.

“Selama ini orang-orang bukan Islam lazimnya mendapat gambaran tentang agama ini daripada sumber-sumber yang tidak boleh dipertanggungjawabkan seperti tulisan-tulisan para orientalis.

“Dr Zakir Naik adalah seorang pendakwah yang menggunakan metod yang lembut di dalam ceramahnya.

“Beliau bukan daripada kategori yang suka menyerang agama-agama lain dengan mencerca dan memaki hamun.

“Sebaliknya beliau berdakwah berdasarkan fakta-fakta ilmiah dan hujah-hujah yang mengajak para pendengarnya berfikir secara rasional.” ujarnya dalam satu kenyataan semalam.

Justeru Wan Salim berkata, golongan bukan Islam tidak perlu rasa terancam dengan kehadiran pendakwah antarabangsa ini, sebaliknya beliau menyarankan supaya menghadiri program-program ceramah Dr Zakir serta berdialog secara tenang dan bersopan.

“Perlembagaan Malaysia memberi kebebasan kepada setiap rakyat negara ini mengamalkan agama masing-masing walaupun Islam dijadikan Agama Persekutuan.

“Kita terlalu berlebih-lebihan dalam memahami sensitiviti agama sehingga menghalang kita daripada mengambil tahu agama-agama selain daripada yang kita sendiri menganutinya.

“Padahal dengan memahami agama-agama lain dapat membantu kita hidup dalam suasana harmoni dan bertolak angsur dalam masyarakat Malaysia yang berbilang bangsa, agama dan budaya.

“Memahami agama lain tidak semestinya seseorang perlu menukar agamanya. Tiada siapapun boleh memaksa seseorang memeluk agama yang tidak disukainya, kerana pegangan agama adalah masalah keyakinan hati seseorang.

“Tiada keuntungan bagi umat Islam jika orang lain menerima agama mereka secara terpaksa.

“Saya juga berpendapat bahawa umat Islam perlu mengambil tahu ajaran agama-agama rakyat Malaysia yang lain kerana dengan cara begini hubungan baik dan harmoni antara pelbagai kaum dinegara ini dapat dipupuk dan disuburkan.” ujarnya.

Kehadiran Dr Zakir telah menimbulkan konflik di kalangan penganut agama hindu di negara ini Hindu Rights Action Force (Hindraf) meminta kerajaan untuk mengharamkan pendakwah itu daripada memasuki negara ini.

Ketua Pemuda MIC, C Sivaaraajh pula berhasrat untuk membuat laporan polis dan mengambil tindakan undang-undang melarang Dr Zakir masuk ke negara ini.

Manakala Timbalan Ketua Menteri 2 Pulau Pinang, Dr Ramasamy pula mengelarkan Dr Zakir `Setan’ dan mahu beliau dihalau daripada negara ini bagaimanapun telah menarik balik perkataan tersebut.

Semalam, Ketua Polis Negara Tan Sr Khalid Abu Bakar di dalam twitternya tidak membenarkan ceramah membabitkan pendakwah perbandingan agama Dr Zakir Naik di negara ini diteruskan berdasarkan ketenteraman awam dan sensitiviti masyarakat berbilang agama.

Ceramah Dr Zakir dengan tajuk “Similarities Between Hinduism and Islam” dijangka akan berlansung pada 17 April ini di Universiti Teknikal Melaka (UTeM) terpaksa dibatalkan.

TAGS